Percaya kemelut politik tidak jejaskan program imuninasi – Kon Yeow

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa kemelut politik yang berlaku pada peringkat Persekutuan ketika ini tidak akan menjejaskan usaha memerangi pandemik COVID-19 termasuk di negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang menerajui pentadbiran kerajaan (Pusat), Program Imunisasi COVID-19 (PICK) tetap akan diteruskan bagi memastikan matlamat imuniti kelumpok dapat dicapai menjelang Oktober ini.

“Pada pandangan saya, (kejayaan PICK) adalah bergantung kepada kerja-kerja penghantaran bekalan vaksin oleh pihak syarikat pengeluar.

Ketua Menteri bersama-sama Jagdep Singh Deo memerhatikan proses saringan oleh petugas kesihatan terlibat.

“Sekiranya sampai pada tarikh yang ditetapkan, maka pihak pengeluar perlu menghantar bekalan vaksin tanpa mengira siapa pun yang menerajui kerajaan kerana wang untuk tujuan itu mungkin sudah dibayar.

“Malah, kita juga telah mendengar komitmen daripada Menteri bertanggungjawab yang menyatakan dengan jelas bahawa beliau akan terus memberikan tumpuan kepada PICK ini.

“Justeru, pergolakan yang berlaku kerana percaturan watak-watak politik ketika ini tidak sepatutnya menjejaskan PICK kini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancagan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bakal menerima sebanyak 917,220 dos vaksin bagi bulan Ogos yang akan dihantar secara berperingkat.

Difahamkan, sebanyak 188,875 dos akan dihantar pada minggu pertama bulan Ogos; 236,200 (minggu kedua); 163,800 (minggu ketiga) dan 328,345 pada minggu keempat.

“Dengan jumlah ini, kita masih mampu mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu 100 peratus rakyat Pulau Pinang yang berdaftar akan diberi suntikan pertama pada awal bulan September dan 40 peratus suntikan kedua dapat dicapai pada akhir bulan Ogos,” ujarnya.

Program PSC-19 peringkat KADUN Padang Kota menerima sambutan baik daripada penduduk setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga bakal menyediakan inisiatif suntikan vaksin tanpa janji temu kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung serta ibu yang sedang menyusukan anak.

“Tarikh dan PPV yang mana, akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini iaitu setelah kita peroleh agihan vaksin pada minggu ketiga,” jelasnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa suntikan kedua bagi vaksin Pfizer-BioNTech di beberapa PPV perlu dijadualkan semula ekoran kelewatan penghantaran bekalan oleh pihak pengeluar.

“Ini akan melibatkan beberapa PPV Program Imunisasi Industri COVID-19 Awam-Swasta (PIKAS) dan hospital swasta yang mana penerima dos kedua akan diberikan tarikh baru menerusi MySejahtera,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH