Percepatkan dos penggalak untuk rakyat Pulau Pinang – Ketua Menteri

KETUA Menteri menunjukkan plakad berkaitan selepas menerima suntikan dos penggalak di HPP tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menegaskan bahawa suntikan dos penggalak adalah wajar dipercepatkan demi keselamatan serta kesihatan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga menjalankan pemantauan rapi terhadap keberkesanan dos penggalak yang dilaksanakan kini khususnya bagi memastikan tidak berlakunya laporan kes terutamanya membabitkan kemasukan ke hospital secara mendadak berbanding kini.

“Bagi laporan kes harian, walaupun menunjukkan trend penurunan, Kerajaan Negeri sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan JKNPP berhubung laporan kemasukan ke hospital dan juga kematian harian.

“Malah, turut menjadi keutamaan adalah kapasiti hospital serta kelengkapan kemudahan perubatan di negeri ini termasuk pengoperasian Pusat-pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC),’’ katanya dalam satu kenyataan sejurus menerima suntikan dos penggalak dekat Pusat Rawatan Harian (ACC) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada 27 Oktober 2021.

ANTARA pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir untuk urusan berkaitan di ACC HPP tadi.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta beberapa Exco lain seperti Chong Eng, Zairil Khir Johari, Dato’ Abdul Halim Hussain, Dr. Norlela Ariffin turut memperoleh suntikan dos penggalak pada sesi sama.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sehingga 26 Oktober 2021, jumlah penerima dos penggalak peringkat negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 7,808 orang.

“Malah, janji temu telah juga telah mula diberikan kepada mereka yang layak menerusi aplikasi MySejahtera di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) membabitkan 46 klinik swasta dan lapan hospital swasta tersenarai,” jelasnya selepas menerima suntikan ketiga dos vaksin di Pusat Rawatan Harian (ACC) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada 27 Oktober 2021.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja), Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menjelaskan bahawa sehingga 26 Oktober 2021, populasi remaja negeri yang telah menerima suntikan pertama vaksin adalah berjumlah 89.7 peratus, manakala lengkap dua dos (75.0 peratus).

“Dalam usaha mempertingkatkan kadar vaksinasi berkaitan (PICK-Remaja), Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menggunakan pelbagai pendekatan antaranya ziarah cakna, panggilan individu, promosi kesihatan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari semasa ke semasa,” ujarnya.

LAW Choo Kiang

Sementara itu, Choo Kiang yang ditemui memberitahu Buletin Mutiara bahawa dengan penerimaan suntikan dos penggalak berkaitan, beliau berharap ia bakal meningkatkan lagi tempoh perlindungan optimum kepada mereka yang telah menerima lengkap dua dos sebelum ini.

“Dengan dos penggalak ini, rasanya kita akan mempunyai satu lagi (tempoh) perlindungan berkesan memandangkan rata-rata mereka yang telah lengkap dua dos vaksin masih berisiko untuk dijangkiti COVID-19.

“Malah, untuk diri sendiri, akan lebih yakin,” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat melaksanakan program pemberian dos penggalak di bawah PICK berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS