PERDA tunggu ‘lampu hijau’ DOA sebelum serah 147 ekar tanah pertanian disambut baik

Admin

PADANG LALANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik respons Pengerusi Lembaga Wilayah Pembangunan Pulau Pinang (PERDA) yang masih menunggu ‘lampu hijau’ Jabatan Pertanian Negeri (DOA), sebelum menyerahkan 147 ekar tanah yang dimohon dekat Ara Kuda untuk tujuan meningkatkan jaminan keselamatan makanan negeri.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberi respons tersebut kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Dan Kibarkan Jalur Gemilang dekat Rumah Pangsa Desa Wawasan di sini pada 29 Ogos 2020.

“Apabila saya melawat Taman Pertanian Ara Kuda dua bulan lepas, memang (ada) isu kekurangan tanah untuk pekebun-pekebun sayur.

“PERDA memang ada tanah di kawasan itu dan kita (Kerajaan Negeri) menyambut baik (respons Pengerusi) PERDA yang sudi menyediakan tanah itu untuk penyewaan pekebun-pekebun sayur.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) tunggu keputusan supaya pekebun-pekebun dapat tanah yang lebih luas untuk bercucuk tanam,” responsnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Turut serta, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Kheong.

Pada 15 Ogos lalu, Pengarah DOA Pulau Pinang, Muhaimin Ibrahim dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow menyatakan bahawa PERDA berhasrat menyerahkan 147 ekar tanah untuk diuruskan bagi tujuan meningkatkan kapasiti pengeluaran sektor jaminan makanan negara di negeri ini.

Menurut beliau, acara pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) dengan agensi persekutuan tersebut dijadualkan pada hujung bulan Ogos ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING