Perdana Menteri bakal rasmikan PIHEX 2024 pada 5 hingga 8 Disember ini

whatsapp image 2024 10 14 at 14.15.15

SEBERANG JAYA – Penang Halal International (PHI) bakal menganjurkan Penang International Halal Expo (PIHEX) 2024 kali ke-13 selama empat hari mulai 5 hingga 8 Disember ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata expo bertemakan “Pemerkasaan Ekonomi Global Melalui Halal” itu bakal berlangsung di Tapak Gravitas, Jalan Baru Perai.

“Lebih istimewa, PIHEX kali ini dijadualkan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember 2024, dan beliau merupakan Perdana Menteri pertama ke PIHEX sejak berlangsung 12 tahun lalu.

“Kehadiran Perdana Menteri adalah sebagai tanda sokongan padu Kerajaan Persekutuan ke atas perkembangan industri halal, khususnya di Pulau Pinang,” katanya pada sidang media dekat Dewan Utama MPKK Jalan Tenggiri di sini semalam.

Hadir sama, Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International (PHI), Mohd. Azraie Ramli.

Mohamad berkata, PIHEX 2024 menyasarkan pempamer serta usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya bumiputera yang berpotensi ke arah mengembangkan industri halal masing-masing.

“Langkah ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk meningkatkan lagi pemegang sijil halal di negeri ini.

“Sehingga September 2024, terdapat sebanyak 1,742 pemegang sijil halal di negeri ini, dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 77 peratus adalah pemilik bukan bumiputera manakala 23 peratus lagi adalah bumiputera,” katanya yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Mohamad berkata, PIHEX 2024 turut menarik penyertaan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Antara yang terlibat ialah Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Jabatan Pembangunan Perindustrian & Penyelidikan Sabah (DIDR) serta Halal International Selangor (HIS).

“Turut serta ialah penyertaan 40 usahawan China buat kali ke-2 melalui kerjasama Dewan Perniagaan Malaysia Henan selepas impak positif penyertaan mereka yang bermula pada tahun lepas,” ujarnya.

Mohamad berkata, antara acara yang akan berlangsung selama empat hari tersebut termasuklah pameran draipada jabatan dan agensi kerajaan, promosi dan jualan produk industri halal, Festival Kesenian Islam Pulau Pinang seperti pertandingan nasyid dan azan serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

“Turut memeriahkan lagi acara kali ini ialah penyertaan artis dan selebiriti antaraya Kumpulan Inteam, Zubir Khan, Maskot Omar & Hana dan ramai lagi.

“Sebanyak 200 reruai pameran dan jualan yang meliputi 150 reruai berhawa dingin dan 50 lot gerai makanan dan minuman telah disediakan yang mana sehingga kini lebih 80 peratus telah ditempah,” ujarnhya.

Beliau berkata, PHI mensasarkan 20,000 pengunjung pada tahun ini berbanding sebelumnya seramai 15,000 orang.

“Ini berikutan penganjuran pertama kali PIHEX 2024 diadakan di luar dewan, selain lokasi strategik di kawasan penempatan penduduk.

“Dijangka pelawat domestik, pedagang luar negara serta para pengunjung seluruh negeri serta dari wilayah utara akan mengunjungi PIHEX kali ini.

“Dianggarkan jumlah dagangan pula akan melebihi RM1 juta dicapai sepanjang empat hari berlangsungnya PIHEX 2024,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 20 lagi reruai pameran yang belum ditempah, justeru para pemain industri yang berminat boleh menghubungi pegawai PHI di talian 04-262 5444 atau e-mel ke [email protected]/[email protected] atau untuk maklumat lanjut boleh layari https://penanghalal.international.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD