BUKIT TAMBUN – Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana sentiasa menekankan prinsip tatakelola dalam pentadbiran negeri.
Beliau berkata, prinsip tatakelola baik yang telah diamalkan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya menarik minat pelabur asing untuk datang melabur di negeri ini.
“Tahniah diucapkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) kerana telah memberikan tekanan terhadap prinsip tatakekola, prinsip dan kerja kuat yang menjadi tarikan kepada pelabur asing.
“Disebabkan disiplin dan kejayaan kita menarik pelaburan asing, ke mana-mana sahaja saya pergi di serata dunia, orang tahu tentang Pulau Pinang sehingga kita terpaksa membuka satu lagi taman perindustrian di Batu Kawan.
“Selain itu, keefisienan dan kecekapan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga membantu kerajaan mengutip hasil yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani dekat Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah dekat sini sebentar tadi.
Selain Kon Yeow, hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun serta ramai lagi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata bahawa selain pelbagai projek infrasstruktur, Kerajaan Persekutuan juga sedang memfokuskan usaha untuk menyelesaikan masalah miskin tegar, bencana banjir serta aspek perumahan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Dalam aspek perumahan rakyat, saya sekali lagi memgucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana berusaha mengadakan projek perumahan rakyat yang besar di Seberang Jaya dan Batu Kawan.
“Kedua-dua projek berkenaan dijangka dapat dilancarkan pada tahun ini juga,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow ketika berucap menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa memastikan tiada sesiapa yang akan terpinggir dalam arus kemajuan dan pengagihan kemakmuran di negeri ini.
Beliau berkata, ini termasuklah dengan memberikan penekanan kepada aspek pembangunan institusi Islam di negeri ini dalam memastikan kesejahteraan masyarakat Islam terus terpelihara.
“Pada tahun ini sahaja, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM10.22 juta untuk pembangunan dan penyelenggaraan masjid serta surau di seluruh Pulau Pinang.
“Peruntukan ini merangkumi pembinaan masjid baharu, kerja-kerja baik pulih serta penyediaan kemudahan yang lebih selesa bagi para jemaah,” katanya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyalurkan sebanyak RM14.2 juta bagi memperkasa pendidikan Islam di negeri ini, termasuk menaik taraf sekolah Agama Rakyat dan institusi tahfiz.
“Langkah ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan generasi muda mendapat pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang kondusif,” ujarnya.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan setiap anak Pulau Pinang tidak terjerumus dalam masalah keciciran.
“Malah, Kerajaan Negeri telah bersedia untuk melahirkan ramai bakat berkemahiran tinggi melalui Tindakan Bakat STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) yang dilancarkan pada 8 September 2024.
“Sinergi yang wujud di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja mampu memenuhi permintaan industri tetapi juga merupakan salah satu usaha untuk melahirkan generasi perintis yang akan menjadi peneraju dalam industri teknologi tinggu dunia,” ulasnya.
Terdahulu, Kon Yeow mengiringi Anwar menyantuni peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Bandar Tasek Mutiara sebelum menyertai majlis berbuka puasa bersama-sama lebih 1,500 hadirin di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah di sini.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS