PERDASAMA atau Persatuan Pedagang dan Usahawan Melayu Malaysia bukan sahaja dikenali di negeri ini, malah kalau disorot sejarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini yang ditubuhkan di Pulau Pinang telah mengembangkan cawangannya ke negeri-negeri lain.
Berusia lebih dua dekad, peranan serta fungsinya dalam menjaga kepentingan para pedagangan serta usahawan Melayu begitu signifikan terutama sejak negara dan negeri Pulau Pinang dilanda pandemik COVID-19, kira-kira dua tahun lepas.
Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, LAW SUUN TING berkesempatan menemu ramah Yang Dipertua PERDASAMA Pulau Pinang, MALIK FAISAL ABDUL RAHIM, 48, mengenai jatuh bangun NGO itu dalam membela nasib 438 ahli di negeri ini.
Kesan terhadap M40
Memulakan bicara, Malik Faisal secara santai berkongsi cabaran yang terpaksa didepani oleh para pedagang dan usaha Melayu terutamanya mereka yang dalam kelompok M40 iaitu koridor pendapatan bulan antara RM4,850 dan RM10,959.
“Sejak Pulau Pinang berada dalam tempoh pandemik (COVID-19), peranan kita adalah lebih kepada untuk melihat dari segi kebajikan para usahawan kecil yang dalam kelompok isi rumah M40.
“Kalau B40 (kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah), kita faham mereka ini telah ada bentuk-bentuk bantuan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Sebaliknya, usahawan dan pedagang Melayu dalam kelompok M40 iaitu golongan yang membayar cukai, seakan-akan tiada bantuan khusus untuk membantu mereka semasa tempoh pandemik (COVID-19).
“Kalau ada pun bantuan daripada kerajaan, adalah dalam bentuk pinjaman dan kalau ada geran bantuan modal tertentu pun, jumlahnya begitu terhad untuk kelompok usahawan dan pedagang Melayu dalam kelompok ini.
“Mereka (pedagang dan usahawan Melayu M40) yang terjejas ramai, tetapi geran untuk membantu mereka seakan-akan begitu kecil dan tidak cukup untuk menampung keadaan perniagaan mereka yang terjejas semasa tempoh pandemik (COVID-19),” jelasnya dalam nada sederhana.
Menyedari begitu ramai ahli PERDASAMA Pulau Pinang mengaku terjejas dek pandemik COVID-19, Malik Faisal memberitahu bahawa pihaknya turut membuat kajian impak membabitkan para pemegang taruh dalam NGO tersebut.
Katanya, hasil kaji selidik mendapati bahawa hampir separuh daripada 238 ahli PERDASAMA Pulau Pinang yang terjejas akhirnya terpaksa menutup operasi perniagaan mereka disebabkan tidak berjaya mendapat sistem sokongan berkaitan untuk terus bertahan dalam tempoh ekonomi kian mencabar sebelum ini.
“Dalam radar (pengetahuan) PERDASAMA, memang tidak ada angka khusus bilangan anggota yang memerlukan bantuan dan bilangan mereka yang dapat bantuan kerana kita bukanlah badan yang memberi bantuan (dalam bentuk modal atau pinjaman).
“Dalam konteks PERDASAMA Pulau Pinang, apabila kita buat kajian, lebih kurang 238 usahawan dan pedagang Melayu dalam kelompok M40 terkesan (dek pandemik COVID-19), dan daripada jumlah itu kira-kira separuh tutup operasi perniagaan mereka,” jelasnya dalam nada penuh keinsafan.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, Malik Faisal berkata perkara berlaku itu adalah disebabkan kelemahan pada peringkat PERDASAMA Pulau Pinang sendiri kerana ada kekangan dalam menyediakan sistem sokongan berkaitan kepada mereka yang memerlukan.
“Pada peringkat kita (PERDASAMA Pulau Pinang) juga ada kelemahan, yang mana kita hanya boleh menghantar hasil kaji selidik kita mengenai mereka yang terjejas perniagaan dalam tempoh pandemik ini kepada agensi-agensi berkaitan seperti MARA (Majlis Amanah Rakyat).
“Kerana, segala permohonan bantuan itu dibuat (oleh ahli PERDASAMA Pulau Pinang yang terjejas) secara langsung dengan agensi-agensi tersebut.
“Kebanyakan bantuan yang ditawarkan kepada ahli-ahli PERDASAMA adalah dalam bentuk pinjaman modal dan bukannya geran.
“Pinjaman modal lebih berisiko kerana kita berada dalam tempoh pandemik (COVID-19).
“Semua kita tahu, kuasa membeli rakyat yang turut terjejas (disebabkan mereka juga ramai hilang pendapatan), maka ia pasti tidak menentu untuk membantu sektor perniagaan itu sendiri,” jelasnya lagi.
Kekangan sebenar usahawan M40
Bercakap mengenai cabaran ekonomi semasa pandemik COVID-19, ada pihak mengatakan bukan sahaja ‘supply side’ terganggu, bahkan juga ‘demand side’ disebabkan ramai hilang pendapatan tetap hatta melemahkan kuasa membeli mereka.
Tanpa menafikan pendapat sebegitu, Malik Faisal berkata rata-rata ahli PERDASAMA Pulau Pinang memberi maklum balas bahawa operasi perniagaan mereka terganggu dan terkekang disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah.
“SOP yang sentiasa berubah-ubah sangat mengganggu kita dalam menyesuaikan operasi perniagaan dengan situasi semasa yang tidak menentu.
“Contohnya, had pengunjung untuk masuk ke gerai pameran tidak boleh masuk ramai pada satu-satu masa tertentu (mengikut SOP yang berubah-ubah) kadang kala menyukarkan pelbagai pihak.
“Contoh lain, apabila sektor pelancongan negeri Pulau Pinang kembali dibuka, membawa kepada lambakan pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa tetapi SOP masih mengehadkan pekerja dan pengunjung dalam premis ikut SOP lama.
“Pengunjung tempatan dan pengembara antarabangsa yang hennak masuk ke gerai pameran perniagaan kita, mereka tidak mahu mengambil masa tunggu begitu lama, akhirnya melencong dari premis perniagaan kita.
“Secara peribadi, saya fikir MKN (Majlis Keselamatan Negara) sewajarnya mengambil maklum balas para pemegang taruh dalam kalangan pedagang dan usahawan M40 semasa proses mengemas kini SOP.
“Kalau ada pun maklum balas diambil (oleh pihak MKN semasa membuat pengemaskinian SOP), mungkin dalam sektor pembuatan (industri) sahaja dan bukannya kelompok peniaga M40 ini,” jelasnya lagi.
Kesan berantai
Mengulas lanjut, Malik Faisal berkata bahawa SOP berubah-ubah turut membantutkan lagi para pedagang dan usahawan M40 di bawah naungan PERDASAMA yang mengambil risiko dengan membuat pinjaman modal, walaupun layak mengikut kriteria yang digariskan oleh agensi-agensi kerajaan tertentu.
“Pada hari biasa, sepatutnya hasil jualan kasar harian boleh dilonjakkan sehingga RM5,000 tetapi disebabkan kekangan SOP tertentu, mungkin kita hanya dapat RM1,000 sahaja (hasil jualan kasar harian).
“Dengan hasil jualan kasar harian sekitar RM1,000, bagaimana untuk kita membayar balik pinjaman modal kalau kita memohon bantuan pinjaman tertentu daripada agensi berkaitan…ini antara kekangannya,” jelasnya lagi.
Fasa peralihan ke endemik
Bermula 1 April 2022, pintu sempadan negara mula dibuka secara berperingkat yang memungkinkan Pulau Pinang menerima lambakan pengembara antarabangsa dan pengunjung domestik, seterusnya menyemarak kembali sektor perdagangan dan keusahawanan negeri.
Tanpa menoleh ke belakang lagi, Malik Faisal berkata PERDASAMA Pulau Pinang berharap para pedagang dan usahawan Melayu termasuk kelompok M40 yang bernaung di bawah NGO tersebut dapat memulihkan kedudukan kewangan dan operasi perniagaan masing-masing.
Selain itu, beliau berharap agar beberapa perancangan pada peringkat dalaman PERDASAMA Pulau Pinang yang tertangguh sebelum ini ekoran pandemik COVID-19, dapat dipacu semula.
Menurutnya, PERDASAMA Pulau Pinang akan berusaha meningkatkan pembangunan kemahiran dalam kalangan ahli mereka melalui kolaborasi dengan dua agensi Persekutuan iaitu Pusat Latihan Kemahiran GIATMARA dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam.
“Melalui MoU (perjanjian persefahaman) dengan GIATMARA, katakan usahawan kita buat ‘kuih basah’ untuk produk sejuk beku, mereka memerlukan ilmu bagi mengawet produk komersial mereka.
“Oleh itu, dengan kerjasama ini akan membolehkan GIATMARA mengajar kita teknik baharu yang disebut ‘retort’ iaitu satu-satu produk makanan dimasak pada tahap tertentu, kemudian dibungkus serta boleh bertahan sehingga dua tahun tanpa menggunakan bahan pengawet.
“Apabila teknologi ‘retort’ makanan ini didedahkan kepada para pengusaha kita, mereka boleh meningkatkan pengeluaran makanan tanpa risiko produk rosak dalam tempoh masa lebih lama semasa proses pemasaran.
“Kedua, kita juga dah berbincang dengan IKTBN Bukit Mertajam untuk anggota kita menyertai program pembangunan kemahiran sampai mereka boleh mendapatkan diploma daripada institusi itu.
“Kalau pedagang dan usahawan Melayu di bawah PERDASAMA ini pandai buat kek umpamanya, tetapi tiada sijil pengiktirafan, maka terhad juga bakatnya untuk mendapat apa jua bantuan bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Maksudnya, kita hendak meningkatkan pembangunan kemahiran dalam kalangan ahli kita (PERDASAMA Pulau Pinang),” jelasnya lagi.
Kolaborasi dengan Kerajaan Negeri
Selain kerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan, Malik Faisal memberitahu bahawa PERDASAMA Pulau Pinang turut mengadakan kerjasama strategik dengan pihak Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussein.
“PERDASAMA Pulau Pinang akan terus saling bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri hari ini demi menjaga kepentingan pedagang dan usahawan Melayu.
“Bagi saya, tumpuan MMK Pembangunan Usahawan mengadakan program latihan dan pembangunan kemahiran dalam pemasaran digital sejak tahun 2019 adalah sangat bagus dan begitu diperlukan apabila negara dan negeri (Pulau Pinang) dilanda pandemik COVID-19 (sejak Mac 2020).
“Cuma, daripada segi sambutan pada program pemasaran digital itu, para pedagang dan usahawan Melayu perlu lebih terbuka untuk merebut peluang ini (dengan merebut peluang menyertai program-program latihan dan pembangunan kemahiran yang dianjurkan di bawah Pihak Berkuasa Negeri).
“Bagi kita (PERDASAMA Pulau Pinang), sebagai ‘orang berniaga’, kita tidak boleh menjadikan perbezaan politik kepartian (antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan) sebagai penghalang untuk kita saling bekerjasama dalam membela nasib pedagang dan usahawan Melayu terutama M40 ini,” jelas beliau sambil memberitahu pihaknya akan terus memainkan peranan hakiki sebagaimana termaktub dalam perlembagaan NGO tersebut.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, Malik Faisal memberitahu bahawa PERDASAMA Pulau Pinang turut mengadakan kolaborasi dengan pihak Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee melalui program negeri yang dikenali sebagai ‘Youth Entrepreneur Championship’.
“PERDASAMA Pulau Pinang terlibat secara langsung juga dan kali ini merupakan tahun kedua kita perlu membuat persiapan untuk pertandingan (Youth Entrepreneur Championship) ini.
“PERDASAMA (Pulau Pinang) harap dapat membawa lebih ramai pedagang dan usahawan Melayu muda untuk menyertai pertandingan ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pemimpin Kerajaan Negeri hari ini.
Selain itu, Malik Faisal berharap Kerajaan Negeri hari ini di bawah pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dapat mempertimbangkan beberapa syor bersempena pembukaan semula sektor pelancongan negara dan negeri bermula 1 April 2022.
“PERDASAMA ingin meminta Kerajaan Negeri memberi beberapa kelonggaran seperti ruang niaga dengan harga (kadar sewa lantai) berpatutan serta pengurangan dari segi yuran atau cukai berkaitan.
“Dan, kalau boleh membantu dari segi promosi acara berkaitan yang ada kepentingan pedagang dan usahawan Melayu dalam program tersebut,” jelasnya.
Harapan
Mengakhiri sesi temu ramah, Malik Faisal memberitahu bahawa masih banyak wawasan PERDASAMA Pulau Pinang belum direalisasikan di negeri ini serta memerlukan sokongan pelbagai pihak baik pada peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Paling penting adalah dalam kawasan ‘Muslim Enclave’ iaitu merujuk pada segitiga emas George Town di negeri ini, perlu ada penyusunan para pedagang dan usahawan dalam kalangan Melayu juga…cadangannya di Lebuh Buckingham (berhampiran Masjid Kapitan Kling).
“Mewakili PERDASAMA, saya mesti bercakap mengenai kepentingan Melayu dan Melayu mesti kena ada dalam ‘Muslim Enclave’ dekat George Town ini.
“Sebelum saya terlupa, saya juga berpendapat bahawa bidang pelancongan negeri ini akan jadi sektor paling menonjol pasca pandemik COVID-19 ini, jadi peluang dalam bidang ini juga perlu dibuka lebih luas kepada ahli-ahli PERDASAMA Pulau Pinang.
“Usahawan Melayu mesti ada dalam ‘Muslim Enclave’ ini dan ‘Muslim Enclave’ ini juga mesti berada dalam George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, baru lah dapat manfaat daripada lambakan pengembara antarabangsa dan pengunjung domestik ke negeri Pulau Pinang.
“Kita pernah cadang ‘Muslim Enclave’ untuk pedagang dan usahawan Melayu jadi terasnya di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO ini, tetapi belum dapat direalisasikan lagi,” jelasnya.