Perginya lagenda bola sepak Rahim Mohamed…

Admin
KOLEKSI gambar aksi Allahyarhamuhu Rahim Mohamed sedang melatih seorang ‘bintang kecil’, diambil dari media sosial.

PEMERGIAN bekas penjaga gol pasukan negeri dan negara, Allahyarhamuhu Rahim Mohamed, 66, kira-kira 2 petang tadi di Hospital Seberang Jaya menjadi satu lagi kehilangan besar buat para peminat sukan arus perdana tersebut kini.

Zainab Mohamed, iaitu adik kepada Allahyarhamuhu semasa dihubungi Buletin Mutiara memberitahu bahawa pemain bola sepak era 1970-an itu memang ada ‘masalah’ jantung dan meninggal disebabkan komplikasi pada penafasan.

“Saya memang tengah bergegas ke Pulau Pinang apabila diberitahu bahawa beliau berhajat untuk melihat semua adik beradik (kandungnya).

“(Saya sempat bertemu Allahyarhamu) yang mana matanya masih terbuka tetapi nampak pernafasannya semakin lemah.

“Arwah (Rahim Mohamed) akan dikebumikan (dekat tanah perkuburan Islam, dekat Masjid Seberang Jaya) pada malam ini,” jelasnya mengesahkan pemergian lagenda bola sepak negara dan negeri pada era 1970-an.

Pernah bekerja di Maybank Berhad, Allahyarhamuhu Rahim Mohamed meninggalkan seorang balu serta empat orang anak.

LIM Bok Khoon

Lim Bok Khoon, iaitu seorang bekas pemain bola sepak negeri Pulau Pinang semasa dihubungi Buletin Mutiara turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian ‘bintang’ negara tersebut.

Mengaku tidak mengenalinya secara dekat, Bok Khoon memberitahu bahawa Tuan Arumugam dari pasukan Waterfall Ranges merupakan antara individu yang mula menghidu bakat Rahim sebagai penjaga gol.

“Semasa itu Rahim yang baru berusia 16 tahun dipanggil beraksi sebagai penjaga gol bagi mengisi kekosongan penjaga gol pilihan utama bagi pasukan Waterfall Rangers, Tuan Veeran,” ujarnya menerusi telefon.

Menurut beliau lagi, bakat sebagai penjaga gol yang begitu menyerlah melayakkan Rahim dipilih beraksi mewakili negeri Pulau Pinang dalam kejohanan bola sepak remaja Burnley Cub 1975.

Pada tahun yang sama juga, Bok Khoon memberitahu bahawa Rahim turut berada dalam barisan pemain pasukan negara Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia Tenggara di bandar Tehran, Iran.

Tambah Bok Khoon, di sebalik kejayaan pasukan Pulau Pinang menjuarai Liga Malaysia 1974 dahulu, peminat bola sepak semasa itu mungkin sedar bahawa Rahim merupakan penjaga gol simpanan,

Bok Khoon menyatkan bahawa Rahim semasa itu berada ‘di bangku simpanan’ sementara Desmond David (iaitu ayah kepada bekas ratu skuasy dunia Nicol David) adalah penjaga gol pasukan Pulau Pinang.

Rahim, katanya, turut beraksi bagi pasukan negeri Pulau Pinang semasa saingan akhir menentang Singapura dalam Liga Malaysia 1977 yang begitu bersejarah dengan kehadiran kira-kira 40,000 penonton di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Dengan kelincahan Rahim, padanlah ‘bintang’ Pulau Pinang itu dipinang mewakili Malaysia untuk beraksi dalam Agar Khan Cup 1975 di Bangladesh, serta menjuarai kejohanan tersebut.

KOLEKSI gambar santai Allahyarhamuhu Rahim Mohamed (kiri sekali) bersama-sama rakannya di warung.

Kelincahan Rahim tidak terhenti setakat kejohanan tersebut sahaja, apabila dipilih menyertai pasukan Malaysia B pada tahun 1978 serta sempat menjalani latihan intensif selama sebulan di negara Jerman pada waktu itu.

“Rahim sebagai pemain bola sepak negeri Pulau Pinang dari tahun 1974 hingga 1981, dan sempat membuat kemunculan semula pada tahun 1986,” kata responden berkenaan sambil menganggap Rahim adalah bintang yang sebaris dengan ‘lagenda bola sepak negeri dan negara’ seperti Shukor Saleh, Isa Bakar dan abangnya Ali Bakar serta Namat Abdullah.

Bok Khoon memberitahu Buletin Mutiara bahawa selepas tidak lagi beraksi untuk pasukan negeri Pulau Pinang, Rahim menubuhkan sebuah kelab bola sepak negeri di Butterworth.

Tambah beliau, kelab bola sepak itu dikenali sebagai RM Academi, sempena singkatan namanya ‘Rahim Mohamed Academy’ serta berjaya menggilap beberapa bintang baharu untuk negeri.

“Beliau (Rahim Mohamed) merupakan penjaga gol yang begitu lincah pernah dimiliki Pulau Pinang, sangat tangkas melompat dan tangkap bola serta seorang yang begitu tenang macam ketul ais bagi menghentikan bola di gawang negeri.

“Bagi saya, beliau adalah seorang pemain bola sepak yang hebat walaupun senantiasa merendahkan diri dengan kawan,” ulasnya.

CHANG Chueh Bin turut menyifatkan Rahim Mohamed atau nama timangan ‘Chokodok’ dianggap sebagai penjaga gol terbaik yang pernah dilahirkan dalam ‘rahim’ bola sepak negeri Pulau Pinang.

Seorang lagi responden, Chang Chueh Bin, 63, memberitahu Buletin Mutiara bahawa Rahim Mohamed sudah dianggap sebagai ‘bintang’ dalam kalangan rakan sebaya sejak di bangku sekolah.

Bersekolah sama di Sekolah Menengah Kebangsaan Westland, Chueh Bin berkongsi bahawa beliau pernah menjadi pemain pelapis bagi Rahim yang merupakan antara ayam tambatan sekolah pada waktu itu.

“Walaupun ramai mungkin mengenai Rahim sebagai penjaga gol bagi pasukan negeri, di sekolah beliau adalah pemain yang boleh bermain dalam pelbagai posisi.

“Pernah dalam satu perlawanan, dari posisi tengah, beliau diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol semasa sesi sepakan penalti.

“Taktikal pengurus pasukan sekolah memposisikan Rahim Mohamed berjaya menyumbang kemenangan kepada (Sekolah Menengah Kebangsaan) Westland menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun MSSPP (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang) pada tahun 1974.

“Bagi saya, Rahim (Mohamed) sejak di bangku sekolah memang seorang pemain yang berdedikasi, ‘bintang’ sekolah semasa itu,” katanya sambil berkongsi mengenai beberapa lagi aksi kelincahan Rahim Mohamed semasa menyertai pasukan Waterfall Rangers.

Tanam keladi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk meniti,
Lincahmu di padang tidak dilupa,
Sudah terpaku di dalam hati.

Damailah di sana wahai bintang bola sepak negeri dan negara, Allahyarhamuhu Rahim Mohamed.

Oleh : ONG KOK HOAY & ZAINULFAQAR YAACOB