PERHEBAT, FMM Pulau Pinang jalin kerjasama sedia 20,000 peluang pekerjaan kolar biru dan putih

GEORGE TOWN – Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang menjadi perintis industri kilang pertama dalam negara menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bagi menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh dua tahun.

Menerusi kerjasama tersebut yang dimeterai pada 23 November 2018, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kakitangan ATM bersara dan ahli keluarga mereka berpeluang untuk ditawarkan kerja dalam pelbagai industri kelompok pekerja kolar biru dan putih di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik usaha yang dipelopori PERHEBAT dan FMM Pulau Pinang tersebut yang mana ianya akan jadi projek perintis sebelum diperkenalkan di peringkat kebangsaan.

“Ini merupakan inisiatif yang baik kerana Pulau Pinang sememangnya bergantung kepada industri pengilangan dan juga ekonomi,” ujarnya sejurus mendengar pembentangan inisiatif berkenaan ketika kunjungan hormat oleh PERHEBAT dan FMM Pulau Pinang teerhadap beliau dekat pejabatnya di sini sebentar tadi.

Delegasi berkenaan diketuai Pengerusi PERHEBAT, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz Ibrahim (Bersara); Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, Major Rosdin Mohamad (Bersara); Pengerusi FMM Pulau Pinang, Datuk Dr. Ooi Eng Hock; Pengarah Urusan Alion Nation Solutions Sdn. Bhd. merangkap Rakan Strategik Industri PERHEBAT, Tan Chin Kong dan dua pegawai pengurusan atasan PERHEBAT yang lainnya.

Abdul Aziz dalam pada itu berkata, kunjungan julung kali ke atas Kon Yeow tersebut diharap memperoleh sokongan padu daripada pihak Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sosio ekonomi modal insan ATM melalui tiga skop iaitu latihan, penempatan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan.

“PERHEBAT adalah satu-satunya pusat latihan di dunia yang menjalankan Latihan Penempatan Semula (kemahiran dan keusahawanan) yang berstruktur khusus untuk ATM dan ATM bersara.

“Perkembangan terbaharu, memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai November lalu bagi menawarkan 20,000 peluang pekerjaan yang mana inisiatif ini melibatkan penyertaan 40 syarikat dan industri di Pulau Pinang,” jelasnya sambil memberitahu penganjuran Job Fair pertama akan berlangsung Mac ini.

Difahamkan, di Pulau Pinang sahaja mempunyai 20,783 tentera yang terdiri daripada ATM yang sedang berkhidmat sebanyak 2, 803 dan bakinya (17,980) adalah veteran ATM.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG