Perhubungan erat Kerajaan Negeri dan PDRM di semua daerah

KETUA Menteri (kanan) menerima cenderamata tanda kenang-kenangan daripada Soffian Santong (kiri) sambil disaksikan oleh Khaw Kok Chin (tengah) di Komtar pada 30 Oktober 2023.

GEORGE TOWN – Mantan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebelum melaporkan diri sebagai Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkuat kuasa 7 November ini.

Berkhidmat selama tiga tahun 11 bulan 14 hari di negeri ini, Soffian menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow atas sokongan selama ini terutama semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek pandemik COVID-19.

“Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri yang sudi meluangkan masa menerima kunjungan hormat saya dengan ditemani Ketua Polis Negeri Pulau Pinang (Datuk Khaw Kok Chin).

“Pada kesempatan ini, saya sekadar ingin merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan Ketua Menteri selama ini, terutama semasa pandemik COVID-19,” jelasnya di sini pada 30 Oktober 2023.

Dalam reaksi balas, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti selama ini di Pulau Pinang.

“Secara keseluruhan, saya juga merasai erat perhubungan (antara Kerajaan Negeri dan PDRM) di semua daerah, termasuk Timur Laut (di bawah pentadbiran kepolisan Soffian),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kok Chin memberitahu Kon Yeow bahawa Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan akan memangku jawatan pentadbiran kepolisan peringkat Daerah Timur Laut berkaitan sehingga proses pelantikan Ketua Polis Daerah yang baharu dibuat.

Serentak pada majlis sama, Soffian dan Kon Yeow saling menyampaikan cenderamata tanda kenang-kenangan dengan disaksikan oleh Kok Chin sendiri.

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Nama yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.

Tanam lenggun tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati,
Budi tuan kami tak lupa,
Sudah terpahat dalam hati.

Perigi tuan semak seratan,
Ukur tali nampak serupa,
Pergi tuan semarak ingatan,
Luhur budi tidak dilupa.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI