Periksa kesihatan diri minimum sekali setahun – Exco

Admin

DATUK KERAMAT – Tiap-tiap orang dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan kesihatan diri sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Justeru, katanya, penganjuran Penang Medical Camp peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Keramat diharap memberi peluang kepada mereka yang masih belum melakukan pemeriksaan kesihatan berwajib.

“Tahun lepas pun kita buat di sini. Kita harap komuniti yang mendiami flat-flat di sini boleh berkongsi kesedaran (iaitu) penting periksa kesihatan diri sekurang-kurangnya setahun sekali.

“Kita perlu tahu keadaan tekanan darah kita, kandungan gula dalam darah, jantung kita,” ujarnya yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan semasa ditemui di Flat Medan Ria di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, penganjuran program tahunan yang menelan belanja kira-kira RM3,000 itu mensasarkan 300 penyertaan komuniti setempat.

Tambah beliau, program seumpama itu sekaligus diharap dapat membantu mereka yang sukar untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan berwajib di hospital, klinik atau pusat kesihatan komuniti.