GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menzahirkan rasa sedih atas kejadian di Jalan Bukit Kukus dekat Paya Terubong.
Setakat ini, difahamkan seramai enam mangsa ditemui maut manakala tiga orang lagi masih dilaporkan hilang.
“Saya sangat sedih apabila menerima khabar ini, malah sehingga hari ini kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada anggota penyelamat yang bertungkus-lumus mencari individu yang masih hilang dan berharap ia (SAR) dapat diteruskan dengan lancar,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di suatu majlis meraikan anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik di Dewan Kompleks Masyarakat Penyayang dekat sini.
Jagdeep dalam pada itu berkata, beliau akan menghubungi Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang, memohon supaya menyediakan suatu laporan berhubung kejadian yang berlaku pada 19 Oktober lalu sekitar jam 2 petang itu.
“Setelah menerima laporan tersebut baru saya akan membuat kenyataan lanjut memandangkan sejak hari kejadian saya tiada di sini (Pulau Pinang),” jelasnya yang akan mengadakan sidang media di Komtar esok berhubung insiden tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) dalam suatu mesyuarat mencadangkan satu pindaan baharu bagi pembangunan di lereng bukit.
Menurutnya, setiap pembangunan di kawasan yang melibatkan kecerunan melebihi 25 darjah dan 75 meter dari paras laut diwajibkan memperoleh laporan geoteknikal daripada pemeriksa bertauliah.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya tidak membenarkan sama sekali pembangunan bagi perumahan bertingkat di kawasan berkecerunan 25 meter.
“(Dan) Pulau Pinang menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mengambil langkah tersebut.
“Maka, pada pandangan saya, pindaan tersebut tidak akan efektif di negeri ini, sebab itu saya akan membuat satu cadangan agar tidak membenarkan sama sekali pembangunan perumahan di lereng bukit.
“Bagi insiden di Jalan Bukit Kukus, perlu difahami bahawa ia bukanlah projek perumahan, tetapi merupakan projek infrastruktur awam…berbeza sama sekali dengan kejadian yang berlaku di Tanjung Bunga tahun lalu.
“Jadi saya harap, biarlah kita (Kerajaan Negeri dan agensi berwajib) dapatkan fakta yang tepat dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat…ini termasuk badan-badan bukan kerajaan berkaitan,” katanya yang mahu tindakan sewajarnya diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam pembinaan lebuh raya berkembar itu.
Terdahulu, Jagdeep hadir merasmikan Sambutan Deepavali anjuran Kelab Rekreasi India Pulau Pinang (PIRC) bersempena sambutan ulang tahun ke-109 tahun kelab itu.
Kira-kira 200 anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik diraikan dalam jamuan makan tengah hari di sini.
Hadir sama memeriahkan sambutan, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mewakili Ketua Menteri.
Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat turut menyumbangkan RM10,000 kepada PIRC bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan rakyat.
Presiden PIRC, Dr. M.C. Pitchay dalam pada itu turut menzahirkan penghargaan kepada Jagdeep dan Kerajaan Negeri kerana sentiasa menyokong aktiviti yang dilaksanakan oleh kelab terbabit.
Selain jamuan makan tengah hari istimewa, turut diadakan persembahan pentas dengan mengetengahkan kepelbagaian etnik di Pulau Pinang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN