Perjuangan 30 tahun tapak baru sekolah tertunai di bawah PR

TAPAK tanah baru yang disumbangkan Kerajaan Negeri.
TAPAK tanah baru yang disumbangkan Kerajaan Negeri.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GELUGORPerjuangan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Subramaniya Barathee, di sini yang menuntut tapak sekolah baru sejak 30 tahun lepas akhirnya direalisasikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyempurnakan majlis penyerahan tapak tanah baru itu baru-baru ini kepada pemilik bersama, iaitu Koperasi Serbaguna Sungai Gelugor dan Kuil Sri Veera Ma Kaliamman.

“Difahamkan, tapak (asal) itu terlalu kecil dan bangunan sekolah sudah tidak sesuai atau selamat untuk menjalankan aktiviti pendidikan.

“Perjuangan yang mereka lakukan sejak 30 tahun dahulu itu akhirnya telah membawa kita semua ke tapak ini pada hari ini,” ujar beliau.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Terknologi dan Inovasi turut berucap pada majlis tersebut.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pembangunan Keusahawanan, Penerangan dan Warisan berkata, kebanyakan sekolah aliran Tamil di Tanah air ini sejak 50 tahun lepas seakan kurang mendapat perhatian daripada pusat, khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia.

SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Subramaniya Barathee pada majlis penyerahan tapak tanah baru di sini baru-baru ini.
SEBAHAGIAN pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Subramaniya Barathee pada majlis penyerahan tapak tanah baru di sini baru-baru ini.

Malah, beliau berkata, kebanyakan sekolah aliran Tamil turut tidak mempunyai kemudahan untuk pendidikan komputer dan tadika.

Tuntas dari itu, beliau berkata, Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil ditubuhkan oleh Ramasamy pada Mei 2008 dengan perutukan khusus sebanyak RM1.75 juta untuk keperluan 28 sekolah aliran Tamil di negeri berkenaan.