Perkasa daya kreatif dan kritis dalam kalangan belia demi masa depan – Exco

GEORGE TOWN Pertandingan Debat Belia Pinang 2021 yang julung kali diadakan dilihat telah berjaya memperkasakan daya pemikiran kreatif dan intelektual dalam kalangan pendebat belia.

Soon Lip Chee.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program berbentuk ilmiah seperti ini demi menggerakkan pembangunan belia di Pulau Pinang.

(Pertandingan ini) merupakan satu inisiatif yang baik dan wajar dicontohi meskipun ketika pandemik, (situasi ini) tidak langsung menghalang pertandingan ini diadakan.

“Selaras dengan tema pertandingan ‘Patriotisme dan Perpaduan’, saya percaya para peserta telah berupaya mengasah bakat dan memperkembangkan idea-idea baharu melalui pendebatan.

“(Dan) secara tidak langsung dapat memperkasakan pemikiran kreatif dan intelektual dalam kalangan belia yang merupakan aset negara,” ujarnya sambil menzahirkan keyakinan bahawa pertandingan ini merupakan wadah meningkatkan aras daya pemikiran kreatif dan kritis.

Lip Chee yang hadir menyampaikan ucapan perasmian penutup pertandingan tersebut secara langsung menerusi platform dalam talian turut berharap lebih banyak program-program perpaduan dapat diadakan dalam kalangan belia supaya dapat memberi impak yang menyeluruh kepada masyarakat dan negeri Pulau Pinang.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Mohamad Iswadi Al-Juhari; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling; Pengerusi Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Lim Siew Bok serta wakil-wakil belia dari pertubuhan belia daerah Barat Daya dan Timur Laut.

Dalam sesi sama, Lip Chee turut mengulas mengenai pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik membabitkan belia berumur 18 tahun.

“Pertubuhan belia harus bersiap sedia untuk adakan lebih banyak program supaya dapat mendidik dan membimbingpara pengundi baru agar mereka lebih faham.

“(Hal ini) sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri iaitu Belia Untuk Masa Depan!’ atau Youth For Future!’ kerana pembangunan belia amat penting.

“Sekiranya belia tidak digerakkan pada masa kini, masa depan negara nanti sukar untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa,” katanya.

S. Yaganes.

Terdahulu, Pengarah Projek Pertandingan Debat Belia Pinang 2021, S. Yaganes ketika menyampaikan ucapan memberitahu bahawa belia merupakan golongan yang bakal menggalas harapan dan masa depan negara.

Beliau berharap penganjuran pertandingan seperti ini dapat melahirkan golongan belia yang merakyatkan semangat perpaduan dan patriotism.

Turut berucap, Timbalan Menteri Perpaduan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, melalui tayangan video.

Barisan pemenang semasa sesi bergambar.

Dalam pada itu, Nur Humairah Misral telah diumumkan sebagai Pendebat Terbaik pertandingan. Manakala, bagi lain-lain kategori Pasukan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) B diumumkan sebagai johan pertandingan menewaskan Pasukan SBK di tempat kedua.

Difahamkan, pertandingan yang mendapat kerjasama PYDC dan Seni Pengucapan Awam Malaysia (PUSPA) selaku rakan sinergi pertandingan disertai oleh 48 peserta dari serata pelosok Malaysia yang mana mereka telah membahaskan 10usul patriotisme dan perpaduan.

Sebagai rekod, Pertandingan Debat Belia Pinang 2021 dianjurkan oleh gabungan tiga pertubuhan belia merangkumi tiga etnik utama negara iaitu Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Macallum, Pertubuhan Belia Liga Muslim dan Junior Chamber International (JCI) Pearl. Sebanyak tiga pusingan dijalankan masing-masing pada 27 November 2021(saringan), suku dan separuh akhir (4 Disember 2021) dan akhir (5 Disember 2021).


Oleh
: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : JCI PEARL