Perkasakan penglibatan bumiputera di premis komersial MAINPP

Admin
whatsapp image 2024 05 28 at 14.54.27

GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) disaran untuk mengkaji semula status sewaan dan jenis perniagaan yang dijalankan di unit-unit komersial wakaf dekat Lebuh Acheh di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata langkah itu bertujuan memperkasakan lagi penglibatan bumiputera untuk menjalankan perniagaan di premis-premis komersial milik agensi berkaitan.

“Saya ada membangkitkan isu premis komersial wakaf milik MAINPP yang terdapat di kawasan Lebuh Acheh yang mana saya dimaklumkan bahawa kesemua 19 unit di kawasan itu disewa.

“Namun begitu, hasil pemerhatian yang dijalankan mendapti terdapat beberapa unit kedai di beberapa unit wakaf komersial ini sentiasa tutup.

“Justeru, saya berpendapat MAINPP perlu mengkaji semula status sewaan dan jenis perniagaan di unit-unit ini kerana banyak peluang keemasan untuk bumiputera menjalankan perniagaan memandangkan kawasan itu sangat strategik,” katanya semasa sesi perbahasan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Beliau turut membangkitkan mengenai perbuatan vandalisme di Jejantas Pejalan Kaki Octopus yang telah dinaik taraf membabitkan peruntukan RM6 juta sebelum ini.

“Kerja-kerja menaik taraf jejantas ini yang melibatkan pengalihan kabel-kabel utiliti, pembinaan tiga tangga bergerak, empat buah lif dan pemasangan lampu jenis light-emitting diode (LED) untuk pencahayaan di kawasan jejantas.

“Malangnya, jejantas ini tidak dipelihara dengan baik dan selalu mengalami kerosakan serta vandalisme sehingga menimbulkan masalah dan kesukaran kepada pengguna terutamanya golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Keadaan ini juga secara tidak langsung telah menimbulkan rasa tidak puas hati orang awam yang sentiasa menggunakan laluan di jejantas berkenaan,” jelasnya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: LAW SUUN TING