Perkhidmatan bas percuma tanpa had bermula 1 Mac, beri manfaat semasa pandemik

Admin

GEORGE TOWN – Bermula 1 Mac 2021, semua pengguna perkhidmatan bas warganegara Malaysia boleh menikmati perkhidmatan bas Rapid Penang secara percuma tanpa had di seluruh negeri Pulau Pinang.

 

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi menjayakan inisiatif Pas Perjalanan Percuma Tanpa Had My30.

 

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah proaktif ini bagi membantu meringankan beban perjalanan harian pengguna bas yang terjejas pendapatannya sepanjang pandemik COVID-19.

 

 

“Kita (Kerajaan Negeri) akan menanggung kos langganan Pas Mutiara My30 sebanyak RM30 sebulan bermula 1 Mac 2021 sehingga 31 Disember 2021.

 

 

“Pembiayaan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000 sebulan dengan jumlah kad (Pas Mutiara My30) sebanyak 10,000 menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM3 juta,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Komtar, tengah hari ini.

 

(Dari kiri): M. Maheswary, Zairil Khir Johari dan Ku Jamil Zakaria menunjukkan kad Pas Mutiara My30 dan poster promosi pada sidang media di sini.

 

Mengulas lanjut, Zairil turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana memperluaskan inisiatif pas perjalanan tanpa had dalam Belanjawan 2021 ke Pulau Pinang mulai 1 Januari 2021.

 

 

Inisiatif ini membolehkan pengguna perkhidmatan bas menikmati perkhidmatan bas secara percuma di 50 laluan Rapid Penang dengan kos dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

 

“Saya percaya melalui inisiatif ini bukan sahaja dapat meringankan beban perjalanan pengguna tetapi juga sebagai galakan untuk orang ramai menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian.

 

 

“(Dan) usaha ini sejajar dengan Visi Penang2030 yang mahu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta mobiliti di negeri ini,” katanya.

 

 

Dalam pada itu, Ketua Wilayah Utara (Rapid Penang), Ku Jamil Zakaria menzahirkan penghargaan atas kolaborasi antara pihaknya dan Kerajaan Negeri.

 

 

“Pihak kami amat mengalu-alukan kolaborasi dan promosi seperti ini dalam membantu orang ramai mendapatkan perkhidmatan bas yang lebih efisien.

 

 

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sebanyak 200 bas digerakkan di seluruh negeri dan jumlah ini akan bertambah sekiranya berlaku pertambahan pengguna,” katanya.

 

Sementara itu, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), M. Maheswari yang turut sama dalam sidang media tersebut memaklumkan bahawa bagi pengguna perkhidmatan bas percuma CAT Bridge, CAT Seberang Jaya dan CAT George Town, mereka tidak perlu melanggan Pas Perjalanan Percuma Tanpa Had My30 ini.

 

Perkhidmatan bas CAT masih diteruskan seperti biasa.

 

“Hanya mereka yang ingin menikmati perkhidmatan bas percuma selain perkhidmatan bas CAT boleh melanggan pas tersebut,” jelasnya.

 

Orang ramai yang ingin mendapatkan Pas Perjalanan Percuma Tanpa Had My30 boleh ke mana-mana Kiosk Rapid Penang berhampiran dengan bayaran pembelian kali pertama dikenakan sebanyak RM10.

 

Manakala bagi mereka yang telah memiliki Pas Mutiara My30, mereka tidak perlu membeli kad baharu sebaliknya hanya memperbaharui (renew) secara percuma bagi memastikan kad tersebut aktif.

 

Difahamkan, sejak dilancarkan awal tahun ini, seramai 2,300 pengguna sudah memiliki Pas Mutiara My30.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI