PANTAI JEREJAK – Melalui moto ‘Ambil, Guna, Kembalikan’ Aspen Group (AG) kini menyediakan perkhidmatan perkongsian payung secara percuma kepada orang ramai di 12 lokasi perhentian bas terpilih di seluruh Pulau Pinang.
Inisiatif pertama seumpamanya di Pulau Pinang itu adalah usaha dalam menjadikan negeri ini lebih baik dan mesra untuk didiami dengan membantu masyarakat untuk berteduh, kekal selamat dan mendapat perlindungan dalam apa jua keadaan cuaca.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, meskipun usaha sedemikian nampak kecil, namun kesannya adalah amat besar apabila ia dapat memupuk sikap saling bantu-membantu di dalam masyarakat dan menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang mempunyai persekitaran mesra.
“Usaha murni yang dipelopori oleh Aspen (AG) ini harus mendapat pujian kerana AG bukan sahaja menyediakan tempat perhentian bas untuk berteduh, malah terus membantu masyarakat untuk kekal selamat serta dilindungi daripada panas terik dan hujan.
“Anda boleh ambil dan gunakan payung ini di mana-mana lokasi yang disediakan pihak AG untuk melindungi diri daripada panas dan hujan…kemudian kembalikanlah ia di tempat yang disediakan agar payung-payung ‘kongsi’ ini dapat dimanfaatkan orang lain,” ucapnya pada Majlis Perasmian Program Inisiatif Perkongsian Payung di Galeri AG dekat Queensbay Mall di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Dato’ Ar. Yew Tung Seang (Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Datuk Seri Nazir Ariff (Pengerusi Eksekutif AG) dan Datuk M. Murly (Presiden dan Ketua Pengerusi Eksekutif AG).
Program perkongsian payung tersebut adalah inisiatif dipelopori AG bermula Julai lalu, dan difahamkan sejumlah 4,000 kaki payung disediakan di lokasi-lokasi berkaitan.
Selain kemudahan di 12 lokasi perhentian bas terpilih, inisiatif berkaitan juga turut disediakan di lima sekolah dekat Pulau Pinang untuk kegunaan para pelajar dan guru.
Mengulas lanjut mengenai usaha tersebut, Kon Yeow menzahirkan harapan agar syarikat-syarikat korporat dan swasta lain dapat mengikuti langkah berkenaan dengan menyediakan kemudahan kepada orang awam.
“Bukan sahaja dapat mengajar masyarakat untuk berkongsi, inisiatif seperti ini juga mendidik mereka untuk bertimbang rasa dan bertanggungjawab di atas tindakan masing-masing tanpa mengabaikan keperluan orang lain,” serunya.