GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap semangat dan perpaduan yang terjalin dalam kalangan komuniti Kompleks Jalan Kedah dapat diperkukuhkan melalui penganjuran rumah terbuka pelbagai kaum serta agama dari semasa ke semasa.
Menurut beliau, melalui pendekatan tersebut, lokasi berkaitan mampu menjadi panduan kepada komuniti-komunti setempat lain di Pulau Pinang.
“Kita tahu di sini pihak pimpinan Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah tidak lupa majlis untuk meraikan Tahun Baru Cina, Deepavali dan kadang kala jika ada peruntukan, Krismas juga (dianjurkan).
“Ini menunjukkan tradisi yang terukir di Kompleks Jalan Kedah ini masih diteruskan daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penduduk Jalan Kedah 2023 di Kompleks Jalan Kedah dekat sini malam tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng dan pimpinan-pimpinan organisasi masyarakat setempat.
Tambah Kon Yeow, selama 15 tahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota yang turut merangkumi Kompleks Jalan Kedah, beliau senantiasa menekankan tentang amalan bersatu padu dan menjaga nilai-nilai murni.
“Setelah 15 tahun, Kompleks Jalan Kedah telah menjadi teladan serta panduan kepada banyak rumah pangsa di George Town ini kerana penduduk di sini datangnya daripada berbilang kaum dan agama seperti yang didoakan tadi.
“Perbezaan ini tidak seharusnya memisahkan kita, sebaliknya membolehkan kita faham antara satu sama lain dan kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan untuk kita menangani segala masalah melalui semangat harmoni serta hormat-menghormati,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI