Perlembagaan Negeri tidak halang peranan bekas Ketua Menteri, respons Kon Yeow

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Setakat ini, belum ada cadangan untuk mengubal Enakmen Bekas Ketua Menteri bagi memastikan ‘Code of Conducts’ bagi bekas Ketua Menteri selaras dengan Perlembagaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa menjawab Soalan Lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 28 November 2023.

“Peranan sebagai seorang bekas Ketua Menteri adalah memberi sokongan kepada pucuk pemerintahan semasa yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi untuk menghormati segala keputusan, hala tuju, corak pucuk kepimpinan serta barisan kepimpinan semasa demi kepentingan rakyat serta kedaulatan negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kata Exco Kewangan, Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini terbuka menerima teguran daripada mana-mana pihak asalkan disalurkan melalui saluran yang betul serta rasmi.

“(Proses) ini dianggaop sebagai semak dan imbang (yang mana) boleh memberi penambahbaikkan perkhidmatan dan manfaat kepada rakyat.

“Bagaimanapun, sebarang usaha untuk campur tangan (iaitu) mempengaruhi keputusan-keputusan perlulah dielakkan kerana ianya akan merencatkan usaha dan perancangan Kerajaan Negeri demi kebaikan rakyat kita,” ujarnya.

LEE Khai Loon

Menjawab soalan tambahan Khai Loon selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa sama ada seorang bekas Ketua Menteri mempunyai peranan atau tidak adalah tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.

“Peruntukan Perlembagaan Negeri cuma menghadkan seseorang memegang jawatan (Ketua Menteri) itu tidak lebih dua penggal.

“Perlembagaan itu tidak menghalang orang yang sudah berkhidmat (selama) dua penggal (sebagai Ketua Menteri) daripada melakukan apa pun, tak ada halangan,” responsnya lanjut.

ONG Ah Teong

Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong pula, Kon Yeow memberitahu bahawa mengikut Enakmen Saraan berkaitan, setiap ahli termasuk ahli MMK (Exco) dan bekas Ketua Menteri akan layak menerima bayaran tertakluk kepada jawatan yang dipegang serta tempoh perkhidmatan dan sebagainya.

“Setakat ini, saya percaya itulah keistimewaan yang dinikmati oleh seseorang yang sudah sempurnakan perkhidmatan dalam Dewan (DUN) ini.

“Setakat ini, tidak ada apa-apa cadangan untuk melihat keistimewaan yang boleh dipertimbangkan kepada mantan-mantan Ketua Menteri Pulau Pinang,” ulasnya.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa gaji bulanan yang dinikmati oleh seorang Ketua Menteri ketika ini adalah dalam lingkungan RM14,000 berbanding Exco (RM12,000).

“(Kadar) gaji Exco pernah dikaji semula sekitar 10 tahun dahulu, Ketua Menteri pada masa itu tidak memasukkan kajian semula pada gaji Ketua Menteri dan dikekalkan sampai sekarang kira-kira 20 tahun,” katanya sebagai menjawab soalan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS