PADA tahun 2009, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperkenalkan program ‘tiada beg plastik percuma’, sekali gus menyaksikan Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mengarahkan peniaga tidak membekalkan beg plastik kepada pelanggan secara percuma.
Selepas 16 tahun kempen berjalan, pada Februari lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi memperkenalkan kempen tiada beg plastik setiap hari di negeri ini bermula 1 Mac 2025 dalam usaha melindungi alam sekitar dan mencapai masa depan yang mampan.
Di kebanyakan pasar raya besar atau kedai serbaneka di negeri ini, kempen tersebut dilihat seakan-akan “ada cahaya di hujung terowong” apabila kebanyakannya mula menghentikan pemberian beg plastik secara percuma kepada pelanggan masing-masing.
Sebaliknya, mereka menyediakan pelbagai jenis beg kitar semula dengan bayaran tertentu mengikut kualiti yang ditawarkan.
Namun, keadaan sedikit berbeza di pusat penjaja atau pasar awam yang mana kebanyakan peniaga dan pelanggan dilihat masih lagi menggunakan beg plastik dalam urusan jual beli terutamanya di bahagian barangan basah dan sayur-sayuran.
Tinjauan Buletin Mutiara ke Tapak Penjaja, Taman Chai Leng misalnya, dapat dilihat bahawa kadar penggunaan beg plastik dalam kalangan peniaga dan pengguna masih lagi tinggi.

Salah seorang peniaga, R. THAMAEINTHI, 61, ketika ditemui berkata bahawa sifar penggunaan beg plastik sukar dicapai ketika ini kerana kebanyakan pelanggan masih tidak membudayakan amalan menyediakan beg sendiri atau membawa beg plastik dari rumah ketika keluar berbelanja.
“Sebagai peniaga, kami cuba untuk meminimumkan penggunaan beg plastik kerana ingin menyahut seruan kerajaan tetapi kebanyakan pelanggan masih tidak boleh menerima dasar tersebut.
“Jadi buat masa ini kami terpaksa mengikut kehendak pelanggan demi kelangsungan perniagaan dengan menyediakan beg plastik kepada mereka,” katanya.
Justeru, Thamaeinthi berpendapat bahawa satu undang-undang lebih ketat perlu diwujudkan sekiranya kerajaan berhasrat untuk mencapai matlamat sifar penggunaan beg plastik sekali guna di negara ini.
“Kerajaan juga perlu meningkatkan kempen sifar penggunaan beg plastik selain perbincangan menyeluruh dengan pihak industri, bermula dari peringkat kilang yang membekalkan plastik, peniaga dan seterusnya pelanggan,” katanya.

Bagi peniaga daging segar, JUNAIDI BASIRUDDIN, 38, penggunaan beg plastik masih tidak dapat dielakkan dalam urusan jual beli di pusat penjaja berkenaan terutamanya apabila melibatkan barangan basah seperti ikan, daging dan ayam.
Namun katanya, sebagai menyahut seruan kerajaan, beliau telah mengambil inisiatif dengan menyediakan bekas makanan sebagai pilihan kepada pengguna ketika mereka membeli di premis miliknya.
“Memang tidak dinafikan bahawa penggunaan beg plastik masih merupakan satu keperluan di sini tetapi saya juga ada menawarkan penggunaan bekas makanan dengan caj tertentu kepada pengguna.
“Contohnya bagi pengguna yang lokasi rumahnya jauh dari sini, kebanyakan daripada mereka lebih memilih untuk membayar bekas makanan berbanding plastik.
“Selain itu, bagi pelanggan yang membeli daging dalam kuantiti yang banyak saya tidak akan mengenakan sebarang bayaran untuk bekas makanan tersebut,” katanya sambil menambah bahawa budaya membawa beg kitar semula masih lagi rendah dalam kalangan pengguna.

LEONG SOOK MEI, 48, antara salah seorang peniaga di pusat penjaja tersebut yang melaksanakan Kempen Tanpa Beg Plastik.
“Saya hanya membekalkan beg plastik kepada pelanggan yang membeli rempah-ratus seperti serbuk cili, kari, kunyit dan lain-lain.
“Bagi barangan paket atau dibotolkan, saya memang menasihati pengguna untuk membawa beg sendiri dari rumah dan tiada beg plastik disediakan untuk mereka.
“Setakat ini, ramai juga dalam kalangan pelanggan yang datang membawa beg sendiri, mungkin mereka ini telah terdedah kepada kempen yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Bagi TAN HAH MOI, 81, membawa beg sendiri dari rumah sudah menjadi kemestian dan perkara itu diamalkannya sejak 20 tahun lalu.
“Setiap hari saya datang ke sini untuk membeli pelbagai barangan keperluan dan saya akan bawa beg sendiri dari rumah kerana lebih mudah dan praktikal.
“Ada juga keadaan yang mana saya terpaksa menggunakan beg plastik terutamanya ketika membeli sayur-sayuran, ikan dan ayam tetapi semua beg plastik itu akan disimpan dan dipulangkan Kembali kepada peniaga.
“Saya fikir lebih baik begitu daripada membuang plastik-plastik ini ke tempat pembuangan sampah,” katanya sambil menujukkan beg kraftangan yang digunakan sejak sekian lama.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS