Perlu pertimbang banyak faktor untuk bangunkan UTC baharu – Ketua Menteri

Admin
img 6727 870x522

GEORGE TOWN – Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam membangunkan Urban Transformation Centre (UTC) atau Pusat Transformasi Bandar baharu di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pagi ini.

Menurut Kon Yeow, terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam penubuhan sesebuah UTC.

“Hal ini berdasarkan Klausa 4 Garis Panduan Penubuhan dan Pengurusan UTC yang mana untuk menubuhkan UTC baharu, MOF perlu menanggung kos ubah suai, naik taraf bangunan dan menyediakan peruntukan bagi perolehan peralatan khas agensi serta kelengkapan pejabat lain.

“Manakala, setelah UTC beroperasi, Kerajaan (Persekutuan) perlu menampung kos sewaan dan penyelenggaraan ruang pejabat bagi agensi Persekutuan serta kos operasi lain-lain agensi seperti bil utiliti, bayaran elaun lebih masa kakitangan dan pelbagai kos berkaitan,” ujar ADUN Padang Kota itu.

whatsapp image 2024 05 29 at 10.25.33
KETUA Menteri ketika menjawab soalan lisan di Dewan Undangan Negeri pagi ini.

Ulas Kon Yeow lagi, pertimbangan penubuhan UTC baharu perlu mengambil kira kemampuan agensi melaksanakan penempatan semula pegawai sedia ada tanpa melibatkan pertambahan perjawatan.

“Justeru, mengambil kira kedudukan dan keutamaan kewangan negara kini, MOF berpandangan bahawa bilangan 23 UTC sedia ada adalah memadai.

“(Dan) MOF juga tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membangunkan UTC baharu kini,” kata beliau yang turut memaklumkan bahawa UTC Pulau Pinang di Bangunan Komtar sejak dibuka pada 15 Ogos 2020 sehingga April 2024 telah menerima seramai 1,211,721 pelanggan.

Sebagai respons terhadap soalan tambahan Kumaren berhubung penambahbaikan dan pemusatan perkhidmatan Persekutuan serta Negeri di Seberang Perai, Kon Yeow menjelaskan bahawa hala tuju Kerajaan Negeri dalam menyampaikan perkhidmatan adalah melalui pendigitalan.

“Misalnya, kini terdapat 23 jabatan telah berjaya memulakan perkhidmatan secara dalam talian melalui hala tuju pendigitalan.

“(Dan) Kerajaan Negeri juga sedar, terdapat golongan khasnya warga emas yang ketinggalan dalam arus pendigitalan ini.

“(Lantaran itu), melalui Digital Penang…ada menyediakan kelas bimbingan kepada warga emas untuk menggunakan aplikasi dalam talian.

“Selain itu, terdapat perkhidmatan negeri mahupun Persekutuan yang dipusatkan di daerah masing-masing, manakala bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula, sememangnya ada cawangan untuk memberi perkhidmatan lebih dekat kepada rakyat,” jelas Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi.

Terdahulu, Kumaren memaklumkan kepada Dewan bahawa beliau telah mengutus surat kepada MOF berhubung hasrat untuk membangunkan sebuah UTC baharu di kawasan Seberang Perai.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING