GEORGE TOWN – Satu mekanisme perlu diwujudkan di bawah akta yang berkaitan bagi memantau kawalan makhluk perosak, khususnya di skim-skim perumahan berstrata di negeri ini, saran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeh Keen.
Beliau berkata, langkah tersebut penting untuk memastikan semua skim berstrata kekal bersih, diselenggara dengan baik dan mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan sejahtera kepada penghuninya.
“Permasalahan yang dihadapi kebanyakan skim berstrata terutamanya skim kos rendah dan sederhana rendah adalah kekurangan dana yang menyebabkan langkah pengawalan makhluk perosak tidak dapat dilakukan.
“Realiti ini dapat dilihat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Mak Mandin yang tidak dapat menguruskan isu makhluk perosak terutamanya isu tikus yang membawa penyakit berjangkit seperti leptospirosis.
“Oleh itu, kita harus mencegah melalui satu mekanisme yang mewajibkan badan pengurusan menunjukkan bukti terdapatnya langkah pengawalan makhluk perosak untuk mengurangkan risiko jangkitan leptospirosis yang boleh membawa maut,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 dekat sini sebentar tadi.
Mengambil contoh Singapura, Yeh Keen berkata mekanisme yang digunakan di negara berkaitan adalah dengan memasukkan syarikat kawalan perosak dalam Panduan Pengurusan Strata sebaik sahaja pihak pemaju membuat penyerahan kepada badan pengurusan selepas mesyuarat pertama.
“Sebaik sahaja pemaju menyerahkan tanggungjawab dengan mewujudkan Badan Pengurusan, salah satu syarat adalah termasuk perkhidmatan kawalan perosak yang disenaraikan dalam kontrak di bawah Akta Kawalan Vektor dan Racun Perosak Singapura (CVPA) 1998.
“Akta ini akan mengawal selia penggunaan, penjualan dan kawalan racun perosak dan penghalau serta pelesenan orang yang bekerja dalam kawalan vektor.
“Justeru, sudah tiba masanya satu mekanisme perlu diwujudkan di negara kita untuk memantau kawalan makhluk perosak ini,” tegasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS