PERAI – Selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semua parti komponen Pakatan Harapan di negeri ini turut digesa mengemukakan lebih ramai calon wanita berwibawa untuk ditemu duga sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada sesi pentadbiran tahun 2022, demi memastikan sasaran 30 peratus sasaran wanita terlibat dalam proses membuat dasar direalisasikan.
Mengulas lanjut, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng memberitahu bahawa pihaknya turut membangkitkan perkara serta harapan tersebut dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini.
Malah, menurutnya lagi, dasar ‘30 peratus wanita’ itu juga wajar diperluaskan dalam pelantikan ahli lembaga pengarah bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kerajaan Negeri hari ini.
“Bukan sahaja parti politik, calon-calon yang dikemukakan oleh NGO pun selalunya didominasi oleh gender lelaki, sementara wanita pula hanya lebih pada ejen penyumbang secara peribadi sahaja (baik dalam parti mahupun NGO).
“Jadi, selain mengharapkan semua parti politik dan NGO mencalonkan lebih ramai wanita berkaliber untuk dipertimbang bagi dilantik sebagai Ahli Majlis (dalam Pihak Berkuasa Tempatan, PBT), saya mencadangkan (pelantikan Ahli Majlis PBT) turut dibuka kepada NGI atau ‘Non-Goverment Individual’,” ujarnya dalam sidang media bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Hotel Ixora dekat sini pada 23 Oktober 2021.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng turut sertai sidang media tersebut.
![](https://www.buletinmutiara.com/wp-content/uploads/2021/10/EC1079FA-F2CF-4E59-B0D5-8B6B15EC72DC.jpeg)
Sebelum pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti menyempurnakan acara perasmian Bengkel Pembangunan Kapasiti Sidang Wanita Pulau Pinang 2021 di sini.
Dalam pada itu, Chong Eng semasa menyampaikan ucapan alu-aluan antara lain menggesa semua parti komponen Pakatan Harapan Pulau Pinang serta NGO di negeri ini mengemukakan lebih ramai nama pemimpin wanita untuk ditemu duga serta dilantik sebagai Ahli Majlis kedua-dua PBT bagi sesi pentadbiran tahun 2022.
Semalam (22 Oktober 2021), Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo antara lain mengumumkan bahawa mana-mana NGO di negeri ini yang berminat untuk mengemukakan calon Ahli Majlis PBT supaya mengemukakan permohonan berwajib sebelum 15 November depan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR