GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bercadang memperluaskan pemilikan rumah kepada warga Pulau Pinang secara sewa beli atau ‘rent-to-own‘ (RTO) yang kini hanya melibatkan Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A dan Jenis B.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, cadangan perluasan yang akan direalisasikan dalam waktu terdekat itu adalah untuk membantu warga Pulau Pinang memiliki rumah pertama.
Kaedah secara RTO ini dilihat kaedah terbaik kepada mereka yang tidak dapat mengakses pinjaman bank (termasuk mereka yang belum berkeupayaan membeli rumah).
“Sebelum ini, kaedah secara RTO hanya untuk RMM Jenis A (rumah kos rendah pada harga RM42,000) dan RMM Jenis B (rumah kos sederhana rendah, RM72,500).
“Tidak lama lagi kita (Kerajaan Negeri) akan memperluaskan kepada RMM Jenis C (bermula RM150,000 sehingga RM300,000) yang mana dua buah projek yang telah dikenal pasti untuk menawarkan 44 unit secara RTO.
“(Dan) keutamaan bagi kategori terbaharu ini adalah kepada penjawat awam (dan butiran lanjut akan diumumkan kelak),” ujarnya pada sidang media yang diadakan menerusi Facebook Live pada 28 Jun 2022.
Turut sama, Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar dan Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff.
Dalam pada itu, Jagdeep yang juga Ahli Lembaga Pengarah LPNPP memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan pembekalan rumah mampu milik yang mencukupi untuk rakyat Pulau Pinang.
Sebelum ini, saya telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui LPNPP mensasarkan sejumlah 220,000 unit rumah tersedia untuk rakyat Pulau Pinang.
“Sasaran ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 dan saya yakin kita mampu mencapai sasaran tersebut dengan kerjasama semua pihak termasuklah daripada LPNPP dan para pemegang taruh melalui kerjasama awam – swasta (PPP),” tegasnya.
Difahamkan, sehingga 27 Jun 2022, sebanyak 138,041 unit atau 62.8 peratus daripada sasaran telah berjaya dicapai yang mana kini dalam pelbagai peringkat pembangunan. Jumlah ini juga termasuk sasaran 10 peratus daripada 220,000 unit ditawarkan melalui kaedah pembiayaan RTO.
Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini sedang menunggu maklum balas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.
Sebagai pembayar cukai, Pulau Pinang juga layak untuk menikmati perumahan awam.
“Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengenal pasti lima tapak (di lima daerah dengan saiz keseluruhan mencecah 72.3 ekar) untuk dibangunkan (PPR).
“(Dan) kita amat berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyediakan perumahan untuk rakyat di negeri ini,” serunya.
Sebagai rekod, Pulau Pinang hanya memiliki 999 unit PPR berbanding keseluruhan 114,652 unit di seluruh negara.
Teks & Gambar : AINUL WARDAH SOHILLI