BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk berbincang serta saling bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan bagi memperluaskan kapasiti pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditubuhkan di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) COVID-19 sedia ada.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPV lapangan PIKAS dekat kilang Jabil Circuit Sdn. Bhd. di sini pada 19 Julai 2021.
Turut mengiringi, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung dan Pengarah Urusan Jabil Circuit Sdn. Bhd. Pulau Pinang, Tan Siew Jin.
“Kita akan berusaha bersama-sama Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI) supaya sebahagian PPV di bawah PIKAS ini dapat menyambung perkhidmatan (suntikan vaksin) kepada golongan masyarakat setelah ia (PPV industri ini) selesaikan matlamat mereka (iaitu memberi lengkap dua dos vaksin kepada para pekerja industri).
“Misalnya, Jabil (Circuit Sdn. Bhd.) menyuarakan kesungguhan mereka (iaitu) setelah habis (operasi pemberian vaksin kepada pekerja-pekerja industri), mereka (berhasrat untuk) buka kepada kilang-kilang lain iaitu pekerja industri kecil dan sederhana (IKS), supaya kapasiti PPV ini dapat digunakan oleh sektor industri bagi mencapai matlamat keseluruhannya (imuniti kelompok),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Di samping itu, beliau sekali lagi memberitahu bahawa pentadbirannya menjangkakan kira-kira 40 peratus populasi dewasa yang telahpun mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera lengkap mendapatkan dos vaksin sebelum masuk September ini.
“Bilangan suntikan bagi dos kedua sebenarnya dipengaruhi bilangan (mereka) yang telahpun menerima dos pertama, sebab 21 hari kemudian (selepas menerima suntikan dos pertama), mereka akan menerima suntikan dos kedua.
“Jadi, setelah meneliti pencapaian negeri Pulau Pinang dalam tempoh ini yang mana kita mencapai lebih daripada 15,000 dos pertama setiap hari, maka 21 hari dan seterusnya kita akan dapat capai 40 peratus dos kedua sebelum tamat bulan Ogos.
“(Justeru,) saya berharap perhatian dan tumpuan terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), negeri Pulau Pinang sedia menyokong usaha ini dengan PPV awam dan PPV PIKAS dari industri, kita (Kerajaan Negeri) harap dapat mencapai matlamat ini,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Sabtu lepas, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya menyasarkan 40 peratus pemohon vaksin menerusi aplikasi pintar MySejahtera lengkap mendapatkan dua dos vaksin pada hujung bulan Ogos ini, selain 100 peratus lengkap mendapatkan dos pertama pada awal bulan September demi memastikan status Pulau Pinang dapat beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN