Perluaskan Program Jualan Rahmah mampu bantu hadapi kenaikan kos sara hidup rakyat

Admin
PARA penduduk lokal memberi barang asasi dengan harga diskaun di Program Jualan Rahmah di Kompleks Jalan Kedah di sini pada 24 September 2023.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berharap langkah proaktif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Program Jualan Rahmah ke peringkat akar umbi di sekitar Pulau Pinang dapat membantu penduduk lokal dalam mendepani peningkatan kos sara hidup mereka.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Program Jualan Rahmah peringkat komuniti di Kompleks Jalan Kedah di sini pada 24 September 2023.

“Dalam keadaan harga barangan semakin naik, diharap Program Jualan Rahmah ini dapat membawa sedikit kesenangan kepada penduduk-penduduk yang tertekan dengan kos yang semakin naik ini khususnya bagi barangan asas,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi dalam majlis berkaitan.

Kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu lagi, Program Jualan Rahmah pada pagi ini adalah yang kedua diadakan pada peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota, yang mana siri sulung dianjurkan di Flat Taman Manggis sebelum ini.

KETUA Menteri (tiga dari kiri) dan Abdul Wahab Shaik Mydin (dua dari kiri) sambil berkongsi pendapat mengenai maklum balas rakyat berhubung dua siri penganjuran Program Jualan Rahmah Peringkat KADUN Padang Kota di sini tadi.

Bercakap dalam sidang media yang sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah, Abdul Wahab Shaik Mydin, 53, berkata bahawa pihaknya berharap Program Jualan Rahmah peringkat akar umbi berkaitan adalah wajar diadakan saban bulan, bukan secara bermusim.

“Mewakili penduduk tempatan, saya puji inisiatif pihak berkenaan mengadakan Program Jualan Rahmah di sini, selepas penganjuran program sama di Flat Taman Manggis sebelum ini.

“Bagus program ini diadakan secara berkala, bukan bermusim, kerana ia sekali gus akan memperlihatkan Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Negeri hari ini memang bersungguh-sungguh dalam membantu rakyat mendepani kenaikan barang-barang asasi rakyat belakangan ini.

Tinjauan Buletin Mutiara mendapati kebanyakan komoditi yang dijual sempena penganjuran Program Jualan Rahmah di sini adalah dalam koridor diskaun antara 15 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran sebenar.

Super Import Beras Putih 5 kilogram (kg) dijual pada harga serendah RM14, begitu juga ayam pedaging segar RM10 seekor; ubi kentang (RM3 sekilogram); 850 gram Tepung Cap Rose (RM3); 1kg bawang besar (RM3); 155 gram Sardin King Cup (RM3.50); 1kg pek Milo (RM18) dan sebagainya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS