Permohonan baik pulih bumbung Masjid Kapitan Keling akan dipertimbang secepat mungkin

Admin
KETUA Menteri (lima dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan komuniti lokal selepas acara perasmian papan tanda ❤️PENANG di perkarangan hadapan Masjid Kapitan Keling, George Town pada 10 Oktober 2022.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus memelihara serta memulihara Masjid Kapitan Keling yang menjadi mercu tanda perkembangan syiar Islam di negeri ini terutama dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Dalam Jelajah ❤️PENANG Parlimen Tanjong ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota hari ini, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya mengambil maklum mengenai permohonan untuk membaik pulih struktur bumbung pada bangunan warisan berusia 221 tahun itu, serta akan mempertimbangkannya secepat mungkin.

KETUA Menteri (kiri sekali) saling berbincang dengan wakil agensi berkaitan dan anggota jawatankuasa kariah Masjid Kapitan Keling berhubung isu pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan warisan ketara tersebut tadi.

“Memandangkan ada bahagian bumbung mengalami kerosakan sebagaimana disahkan oleh George Town World Heritage Incoperated (GTWHI) (iaitu) badan yang menentukan skop kerja dan kaedah menjalankan kerja-kerja (pemeliharaan dan pemuliharaan) serta sebut harga, kita akan membuat suatu keputusan yang cepat serta memaklumkan kepada masjid tentang peruntukan yang boleh disalurkan demi melaksanakan kerja-kerja yang mendesak ini,” jelasnya selepas meninjau kerosakan bumbung bangunan Masjid Kapitan Keling di sini pada 10 Oktober 2022.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti umat Islam lokal kerana selama ini begitu cakna serta bertanggungjawab memelihara ‘warisan ketara’ di Masjid Kapitan Keling.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen serta beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut sertai jerayawara tersebut.

Rombongan Kon Yeow sebelum itu turut meluangkan masa melawat kawasan kediaman berstrata di Flat Jalan Kedah dekat KADUN Padang Kota.

Bercakap kepada pemberitahu, beliau yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sehingga kini telah membelanjakan lebih RM300 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kawasan kediaman berstrata seperti membaiki lif, tangki air, penggantian wayar elektrik yang telah rosak dan sebagainya di seluruh Pulau Pinang.

Mengaku sebagai ‘ADUN Flat Jalan Kedah’, Kon Yeow dalam nada seloroh turut menjelaskan bahawa projek menaik taraf dua unit lif dengan kos lebih RM232,110.80 di sini dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada bulan Mac tahun depan.

“Status projek dimaklumkan sedang dalam pelaksanaan, maka diharapkan penduduk dapat memainkan peranan yang baik dengan menjaga kepentingan serta memastikan kawasan diduduki berada dalam keadaan baik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Pada hari ini juga, rombongan Kon Yeow turut mengadakan lawatan ke tapak projek pembaikan bumbung dan bangunan Young Muslim Sports Club (YMSC).

Beliau menyampaikan replika cek RM100,000 untuk tujuan kerja-kerja membaik pulih lantai, mengecat bangunan, menaik taraf tandas, pendawaian dan kerja-kerja perpaipan pada bangunan tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR & ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SIEW CHIA EN