GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa intipati permohonan dikemukakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Central Muslim Society (CMS) adalah perlu diperhalusi sebaik mungkin sebelum tindakan lanjut diambil.
Menurut beliau, permohonan seperti petukaran nama jalan serta permohonan tanah akan melibatkan banyak pihak berkepentingan dan memerlukan proses khusus.
“Berkenaan permohonan penukaran mama jalan, ia perlu dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penamaan Jalan yang dipengerusikan oleh YB Zairil Khir Johari (Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital).
“Bagi permohonan tanah pula, saya difahamkan tanah yang dimohon adalah untuk kegunaan pembangunan sebuah akademi sukan dan maklumat lanjut perlu dirujuk kepada pejabat daerah dan tanah terlebih dahulu,” ujarnya ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi CMS di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Presiden CMS, Mohamed Hasan Othuman dan delegasi persatuan-persatuan yang bernaung di bawah CMS.
Turut dibangkitkan pada pertemuan berkaitan adalah siri jelajah meletakkan papan tanda enklaf sekitar George Town, menempatkan bahan-bahan bersejarah mengenai entik Kadayanallur di kawasan tumpuan pelancong antaranya, kereta sorong yang pernah digunakan sebagai pengangkut barang dagangan di pelabuhan selain cadangan mewujudkan inap desa berdasarkan konsep sama.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI