Permohonan pelekat kenderaan percuma MBSP secara online, beri kemudahan kepada OKU

Admin

SEBERANG JAYA – Golongan orang kurang upaya (OKU) kini boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pelekat kenderaan percuma Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) secara dalam talian (online).

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa inisiatif yang diwujudkan itu adalah untuk memudahkan urusan golongan OKU di Seberang Perai.

“Alternatif ini adalah gaya kerja normal baharu semasa negara dalam pandemik COVID-19 yang juga selaras dengan perkembangan teknologi transformasi digital kini.

“Justeru, pemohon pelekat kenderaan percuma OKU hanya perlu melayari laman web MBSP di www.mbsp.gov.my, kemudian pilih Cyber Counter dan klik pada bahagian Sticker Kenderaan Percuma OKU.

MBSP dan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang menandatangi MoU sebagai usaha menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat dalam program yang dianjurkan..

“Pemohon juga diminta melengkapkan permohonan mereka yang didaftarkan menggunakan emel sebelum hantar,” katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pada 12 Mac lalu.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod.

Rozali berkata, pemohon juga perlu memuat naik beberapa dokumen sokongan yang diperlukan seperti kad OKU, lesen memandu, geran kenderaan atas nama pemohon, kad pengenalan serta gambar pemohon.

“Sekiranya pemohon merupakan penjaga kepada OKU, mereka perlu memuat naik dokumen-dokumen yang mengesahkan hubungan dengan OKU berkaitan.

“Antara dokumen yang diperlukan adalah seperti sijil kahwin atau surat nikah bagi pasangan suami isteri, surat beranak atau dokumen yang membuktikan pertalian keluarga dengan pemohon bagi anak, ibu, bapa, abang, adik, kakak dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, setia pemohon hanya layak untuk memohon satu kenderaan sahaja dan tempoh sah pelekat kereta OKU MBSP adalah selama dua tahun.

Rozali Mohamud bersama-sama barisan Ahli Majlis dan Rosnani Mahmod menunjukkan rupa bentuk pelekat kenderaan percuma MBSP untuk golongan OKU.

“Pemohon boleh menyemak notifikasi atau proses permohonan dalam sistem yang sama.

“Tarikh serta lokasi pengambilan pelekat kenderaan pula boleh dibuat sama ada di Menara Bandaraya MBSP atau Pejabat Cawangan di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Rozali memaklumkan bahawa pemeteraian MoU berkenaan adalah sebagai pemudah cara bagi usahasama dalam penyediaan perkhidmatan jurubahasa isyarat dalam program-program yang dijalankan oleh MBSP.

“Pihak Majlis mengambil pendekatan inklusif dengan menyediakan jurubahasa isyarat bertujuan memberi peluang kepada semua penduduk Seberang Perai khususnya golongan OKU untuk sama-sama memahami dan mengikuti perkembangan MBSP.

“(Dan) dengan adanya MoU ini juga, Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang akan bekerjasama bagi melatih kakitangan MBSP memahirkan diri dengan penggunaan bahasa isyarat bersesuaian dengan keperluan dan perkhidmatan,” ulasnya.

Difahamkan, Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang diwakili oleh presidennya, Sideek Shahul Hamid manakala MBSP diwakili oleh Rozali sendiri.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD