Permohonan pembaikan RIBI ‘tak daftar’ masih boleh diteliti, respons Exco

Admin
img 9782

GEORGE TOWN – Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang tidak berdaftar tetapi memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan struktur fizikal masih boleh memohon peruntukan berwajib untuk dipertimbangkan peringkat Kerajaan Negeri hari ini.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim menjelaskan perkara itu sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 29 Mei 2024.

Mengikut garis panduan kelulusan Tabung Amanah Peruntukan RIBI Negeri Pulau Pinang, Siew Khim memberitahu bahawa setiap permohonan peruntukan sepatutnya memenuhi syarat-syarat berkaitan seperti didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) atau Warta Kerajaan Malaysia, didaftarkan dalam sistem e-RIBI Kerajaan Negeri, dan ada status pemilikan atau kebenaran guna tanah untuk tujuan RIBI.

“Walau bagaimanapun, permohonan yang mempunyai isu sedemikian seperti dibangkitkan Pengkalan Kota (Yuee Harng), kita akan proses dan dibawa ke sidang mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Penilaian yang dianggotai pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab untuk meneliti dan membuat ulasan teknikal yang sewajarnya, akan ditapis satu permohonan demi satu permohonan,” ujarnya yang juga ADUN Sungai Pinang.

Sebelum itu, Yuee Harng memberitahu bahawa ada RIBI yang telah berusia ratusan tahun serta tidak didaftarkan, tetapi memerlukan kerja-kerja pembaikan struktur seperti kebocoran bumbung dan sebagainya.

img 9783
WONG Yuee Harng
img 9784
A. Kumaresan

ADUN Batu Uban, A. Kumaresan dalam soalan tambahan selanjutnya pula meminta Siew Khim menjelaskan mengenai tempoh pemprosesan satu-satu permohonan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan RIBI.

Respons Siew Khim, di bawah Tabung Amanah Peruntukan RIBI memang ada peruntukan kecemasan.

Sebelum pada itu, Siew Khim memberitahu bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Tabung Amanah Khas RIBI Negeri Pulau Pinang dalam tiga kali telahpun meneliti 55 permohonan serta meluluskan 43 permohonan telah diluluskan.

“Jumlah peruntukan yang telah diperakukan dan diluluskan untuk 43 permohonan ini adalah sebanyak RM1,730,000,” jelasnya sambil memberitahu bahawa senarai RIBI yang menerima peruntukan berwajib tersebut telahpun dibekalkan kepada sekalian anggota dewan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB