Permohonan permit sementara bermusim bagi durian dibuka mulai esok

Admin
5fe4ba1b 87c0 4ab8 a73a 4ebc61e4367f

GEORGE TOWN – Permohonan secara dalam talian bagi permit sementara bermusim buah durian bagi tempoh Mei hingga Julai 2025 akan mula dibuka mulai esok sehingga 30 April ini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soon Siang berkata, pemohon perlu mematuhi beberapa syarat dan kriteria yang telah ditetapkan.

bf32e754 4abd 40e4 be06 dfe8280425a9

82e431be caa5 4f36 8ad2 a0f2c4fe8509
SYARAT yang ditetapkan.

“Antaranya, peniaga dan pembantu perlu mendapatkan suntikan tifoid yang sah tempoh, tiada sentuhan terus kepada makanan dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

“Penyusunan kerusi dan meja juga perlu diletakkan di dalam tapak gerai bagi mengelakkan halangan awam dan memastikan kelancaran trafik serta keselamatan.

“Pemohon juga perlu menyediakan tong sampah berpenutup yang bersesuaian saiz serta membersihkan sisa kulit durian dari tapak gerai selepas aktiviti jualan.

“Penggunaan bekas polisterin sama ada membungkus atau mempamerkan makanan adalah dilarang yang mana pengunjung digalakkan membawa bekas sendiri (Bring Your Own Container, BYOC), Bring Your Own Bag (BYOB) bagi mengurangkan plastik sekali guna

“Malah, peniaga digalakkan melakukan transaksi tanpa tunai (cashless),” jelasnya pada sesi sidang media yang diadakan di Jalan Padang Kota Lama dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, beberapa rakan sepenjawat iaitu Benji Ang Ming Quan; Lee Wei Seang; Ooi Mei Mei; Muhammad Khairul Mohd. Ali; Rohaizat Hamid; Shafiz Rahim Raja; Zuraida Mohamad Arshad; Dr. Mohd Suhairi Arumugam Abdullah dan Shahul Hameed M.K. Mohamed Ishack.

Mengulas lanjut, Soon Siang memberitahu bahawa tiada peningkatan kadar bayaran bagi musim ini.

“Maka bayaran permit adalah termasuk fi lesen pada kadar RM1 sehari bagi setiap 40 kaki persegi (kp); fi sampah (RM6 bagi setiap gerai 40kp) dan fi kanopi (RM100 bagi kanopi bersaiz 20X20),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak MBPP akan mengambil tindakan serius terhadap aktiviti jualan melibatkan warga asing.

“Pada tahun ini, sebanyak empat kes warga asing berniaga tanpa permit telah dilaporkan dan pihak Majlis telah mengambil tindakan tegas dengan membuat rampasan serta menunda kenderaan terbabit.

“Untuk makluman juga, warga asing tidak dibenarkan memohon ataupun menguruskan perniagaan bagi mana-mana gerai yang beroperasi tanpa kelulusan, tindakan sewajarnya akan diambil,” ujarnya lagi.

Bagi mereka yang ingin mendaftar secara dalam talian, sila layari laman sesawang https://ulesen.mbpp.gov.my.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN