GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa individu yang ingin mendapatkan Permit Sementara Bermusim bagi bazar Ramadan tahun 2023 tampil untuk mengemukakan permohonan yang dibuka mulai hari ini.
Ahli Majlis, Ahmad Azrizal Tahir berkata, permohonan hanya boleh dibuat melalui portal https://elesen.mbpp.gov.my mulai 22 Disember 2022 sehingga 20 Februari 2023.
Pemohon diminta untuk mengemukakan dokumen yang lengkap supaya permohonan dapat diproses.
“(Dan) paling mustahak adalah mengemukakan nombor telefon atau emel bagi memudahkan pihak MBPP menghubungi pemohon,” ujarnya pada sidang media yang diadakan melalui platform Zoom sebentar tadi.
Menurut Ahmad Azrizal, antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pemohon adalah seperti saiz gerai mengikut kelulusan MBPP; perlu mendapatkan suntikan tifoid yang sah tempoh bagi jualan makanan dan warga asing tidak dibenarkan memohon ataupun mengurus jualan.
Malah, peniaga juga perlu menyediakan tong sampah bertutup yang bersesuaian saiz; perlu memakai apron, topi dan sarung tangan semasa mengendalikan makanan; penggunaan bekas polisterin tidak dibenarkan dan tidak boleh meletakkan barang-barang jualan di sesiaran kaki gerai.
Jualan mercun dan bunga api juga tidak dibenarkan bagi permohonan permit ini.
“Selain itu, peniaga juga disarankan menggunakan transaksi tanpa tunai atau cashless serta membawa bekas sendiri (Bring Your Own Container, BYOC) dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
“(Dan) mana-mana gerai yang beroperasi tanpa kelulusan, pihak MBPP akan mengambil tindakan sewajarnya,” tegasnya.
- Dalam sidang media sama, Ahli Majlis Nicholas Theng Jie Wey turut mengumumkan permohonan bagi Permit Sementara Bermusim bagi perniagaan buah durian yang juga dibuka mulai hari ini, 22 Disember 2022 sehingga 22 Januari 2023.
“Sama seperti permohonan Permit Sementara Bermusim Ramadan, permit untuk jualan buah durian juga dibuka secara dalam talian mulai hari ini.
“Mana-mana individu yang berminat boleh membuat permohonan kerana tempoh jualan buah durian bermula pada bulan Disember ini sehingga Februari 2023.
“Bagi kategori jualan durian, peniaga atau pekerja mereka perlu mengenakan sarung tangan semasa mengendalikan durian serta tidak dibenarkan meninggalkan sisa kulit durian di atas lantai semasa dan selepas aktiviti jualan.
“Lain-lain syarat boleh dirujuk melalui portal semasa membuat permohonan nanti,” jelasnya yang turut mengumumkan satu lagi permohonan Permit Sementara Bermusim yang telah dibuka sejak 2 Disember 2022 lalu, iaitu sempena perayaan Tahun Baru Cina 2023.
Sama seperti permohonan permit sementara bermusim yang lain, Jie Wey berkata permohonan bagi kategori ini juga dibuat secara dalam talian melalui portal Jabatan Pelesenan sama seperti di atas.
“Permohonan ini dibuka sehingga 21 Januari 2023.
“Sebarang pertanyaan lanjut mengenai semua jenis permohonan Permit Sementara Bermusim ini, sila hubungi Jabatan Pelesenan di talian 04-263 8818 sambungan 307/308/309/310,” katanya.
Sebagai rekod, permohonan permit sementara bermusim pada tahun 2022 adalah sebanyak 35 (bazar Ramadan); perayaan Tahun Baru Cina (46) dan jualan durian (94).
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : LAW SUUN TING