Permohonan Permit Sementara Bermusim Tahun Baru Cina, durian dibuka mulai esok

Admin
289590a9 b22b 4a17 89d1 fcd95bce5d8b

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mempelawa mana-mana individu yang ingin mendapatkan Permit Sementara Bermusim Perayaan bagi Tahun Baru Cina tahun 2025 tampil mengemukakan permohonan berwajib dibuka mulai esok, 13 Disember 2024.

 

Ahli Majlis, Tan Soo Siang berkata, permohonan hanya boleh dibuat melalui portal https://elesen.mbpp.gov.my mulai 13 Disember 2024 sehingga 13 Januari 2025.

 

Pemohon diminta supaya mengemukakan dokumen yang lengkap bagi membolehkan permohonan mereka diproses.

 

“Selain itu, pemohon juga perlu memuat naik pelan lokasi, saiz kanopi dan tempoh perniagaan untuk semakan dan kelulusan daripada pihak Majlis (MBPP),” ujarnya pada sidang media di sini tadi.

 

d8d1a4c4 2664 4a32 a0b2 cad2aeabc40d
TAN Soo Siang pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ahli Majlis dekat sini tengah hari ini.

Menurut Soo Siang, pemohon perlu mematuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh MBPP.

 

Antaranya jualan bunga api yang memerlukan surat kelulusan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mengemukakan permohonan (permit sementara) ini.

 

“Peniaga dan pembantu perlu mendapatkan suntikan tifoid yang sah tempoh, tiada sentuhan terus (bagi peniaga makanan dan minuman) dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

 

“Penggunaan kerusi dan meja untuk pelanggan perlu mendapat kelulusan Majlis termasuk barangan perniagaan perlu berada di dalam tapak gerai untuk mengelakkan halangan awam.

 

“Begitu juga penggunaan bekas polisterin sama ada membungkus atau mempamerkan makanan adalah dilarang yang mana peniaga digalakkan mengamalkan transaksi tanpa tunai (cashless), membawa bekas sendiri (Bring Your Own Container, BYOC), Bring Your Own Bag (BYOB) dan sifar atau mengurangkan plastik sekali guna.

 

“Selain itu, warga asing tidak dibenarkan memohon mahupun menguruskan perniagaan, mana-mana gerai yang beroperasi tanpa kelulusan, pihak Majlis akan mengambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

 

Dalam sidang media sama, Soo Siang turut mengumumkan permohonan bagi Permit Sementara Buah Bermusim bagi perniagaan buah durian yang juga dibuka mulai esok sehingga 13 Januari 2025.

 

Bagi permit ini, tempoh permit adalah sah dari Disember 2024 sehingga bulan Mac 2025 yang mana pemohon diminta mengemukakan permohonan awal sebelum memulakan perniagaan.

 

“Pemohon juga perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis termasuk menyediakan tong sampah berpenutup yang bersesuaian saiz serta membersihkan sisa kulit durian dari tapak gerai selepas aktiviti jualan.

 

Kadar bayaran permit adalah termasuk fi lesen pada kadar RM1 sehari bagi setiap 40 kaki persegi (kp); fi sampah (RM6 bagi setiap 40kp) dan fi kanopi (RM100 bagi kanopi bersaiz 20X20).

 

“Sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 04-263 8818 sambungan 307/308/309/310 atau layari portal rasmi,” jelasnya.

 

Nicholas Theng Jie Wey; Chan Soon Aun; Choong You Ray; Koay Gaik Kee dan Zuraida Mohamad Arshad antara Ahli Majlis yang turut serta dalam sidang media berkaitan.

 

Difahamkan, sepanjang tahun 2024 sebanyak 190 permohonan bagi Permit Sementara Bermusim Tahun Baru Cina telah diluluskan oleh MBPP dan 324 permohonan bagi Permit Sementara Buah Bermusim.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD