Permohonan sewa gerai niaga, permit sementara bermusim mulai 15 April – Ahli Majlis MBPP

GEORGE TOWN – Permohonan bagi penyewaan gerai niaga ini melibatkan premis pasar, kompleks dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dibuka.

 

Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jia Wey berkata, permohonan adalah secara dalam talian melalui portal https://elesen.mbpp.gov.my mulai 15 April sehingga 25 April 2022

SENARAI lokasi gerai kosong yang ditawarkan.

 

“Pemohon yang tidak berdaftar dalam tempoh permohonan yang ditetapkan tidak layak menghadiri sesi temu duga yang juga dibuat secara dalam talian pada 28 April 2022 nanti,” ujarnya pada sidang media yang diadakan menerusi aplikasi Zoom Meeting pada 14 April 2022.

 

Mengulas lanjut, Jia Wey memberitahu sebanyak 14 lokasi membabitkan 64 tapak ditawarkan pada kali ini.

 

Serentak itu, permohonan Permit Sementara Bermusim bagi jualan buah durian turut dibuka mulai hari ini iaitu 15 April sehingga 30 April 2022.

 

“Tempoh jualan bagi buah durian adalah mulai bulan Mei ini sehingga Ogos 2022.

 

“Pemohon diminta untuk mengemukakan dokumen yang lengkap supaya permohonan (yang dibuat secara dalam talian) dapat diproses segera,” serunya.

 

Sebagai rekod, Jia Wey memaklumkan bahawa pada tahun 2020, sebanyak 61 permohonan diterima dan jumlah tersebut meningkat kepada 135 permohonan pada tahun 2021.

 

“Memandangkan negara kini dalam fasa peralihan endemik, syarat-syarat yang ditetapkan juga berbeza berbanding tahun sebelum ini.

 

“Saya berharap pemohon dapat membaca syarat-syarat ini dengan teliti dan sekiranya ada sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pelesenan di talian 04-263 8818 (sambungan 307, 308, 309 atau 310),” jelasnya.

 

Antara syarat-syarat yang ditetapkan adalah pemohon dan pekerja perlu mendapatkan suntikan tifoid sebelum memulakan operasi; peniaga dan pembantu perlu memakai sarung tangan bagi mengelakkan sentuhan terus (isi buah durian); tidak boleh meletakkan barangan perniagaan di siar kaki gerai; menyediakan tong sampah yang mencukupi; tidak dibenarkan meninggalkan sisa kulit durian di atas lantai semasa dan selepas jualan; tidak dibenarkan menggunakan bekas polistirena bagi sebarang tujuan mempamer atau membungkus jualan serta warga asing tidak dibenarkan menguruskan perniagaan.

 

Selain itu, peniaga perlu menyediakan imbasan MySejahtera di setiap laluan masuk; sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna; mengamalkan kebersihan kendiri pada setiap waktu dan kekal menjaga penjarakan fizikal bagi memutus rantaian perebakan COVID-19.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI