GEORGE TOWN – Permohonan secara dalam talian bagi penyewaan gerai di pasar, kompleks makanan dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi bulan Mei akan mula dibuka pada 14 hingga 27 Mei ini.
Ahli Majlis, Tan Soo Siang berkata, pemohon yang tidak berdaftar dalam tempoh permohonan dibuka tidak layak bagi sesi temuduga dalam talian.
“Bagi sesi kali ini, bilangan lokasi yang dibuka adalah sebanyak 32 lokasi dengan jumlah kekosongan sebanyak 139 buah gerai.
“Antara tempat hotspot bagi para peniaga di kompleks dan tapak penjaja MBPP adalah di Kompleks Tanjung Bungah, Kompleks Bayan Baru dan Annex Air Itam dengan masing-masing ada satu kekosongan di bahagian non-halal.
“Manakala Kompleks Astaka Stadium dengan satu kekosongan di bahagian halal.
“Bagi pasar MBPP, tempat hotspot adalah di Pasar Batu Lancang dengan kekosongan sebanyak dua tempat di bahagian ikan, dua di bahagian sayur-sayuran dan satu di bahagian buah-buahan.
“Di Pasar Borong Lebuh Cecil pula, tiga kekosongan di bahagian ikan sahaja,” jelasnya pada sidang media di Jabatan Pelesenan dekat Jalan Padang Kota Lama di sini pagi ini.
Hadir sama, beberapa rakan sepenjawat iaitu Tan Chiew Choon; Koay Gaik Kee; Rohaizat Hamid dan Bakar Noordin.
Menurut Soo Siang, sebanyak 174 permohonan telah diterima pada sesi temuduga bulan Mac yang lalu dengan 20.69 peratus peniaga berjaya manakala tidak berjaya (43.10 peratus) dan baki 36.21 peratus adalah tidak hadir.
“Bulan April kami (MBPP) tidak berkesempatan untuk membuka permohonan atas faktor bulan Ramadan dan Aidilfitri maka selepas ini kami akan cuba untuk buka setiap bulan bergantung kepada kekosongan tapak.
“Pemohon diminta untuk memastikan talian internet berada dalam keadaan baik, memilih lokasi untuk menjalankan sesi temuduga dalam talian yang bersesuaian, berpakaian kemas dan menepati waktu,” ujarnya lagi.
Maklumat lanjut, layari laman sesawang https://ulesen.mbpp.gov.my/ atau hadir ke Jabatan Pelesenan atau hubungi talian 04-263 8818.
Oleh : NUR SYAKIRAH. MOHD BASRI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS