GEORGE TOWN – Permohonan secara dalam talian bagi penyewaan gerai di pasar, kompleks makanan dan tapak penjaja milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi bulan Mac akan mula dibuka mulai 13 hingga 23 Mac ini.
Ahli Majlis, Tan Soon Siang berkata, pemohon yang tidak berdaftar dalam tempoh permohonan dibuka adalah tidak layak bagi sesi temuduga dalam talian.
“Bagi sesi kali ini, bilangan lokasi yang dibuka adalah sebanyak 28 lokasi dengan jumlah kekosongan sebanyak 94 buah gerai.
“Pemohon diminta untuk memastikan talian internet berada dalam keadaan baik, memilih lokasi untuk menjalankan sesi temuduga dalam talian yang bersesuaian, berpakaian kemas dan menepati waktu iaitu pada 27 Mac ini melalui aplikasi Zoom.
“Dalam pada itu, Majlis juga komited untuk penempatan semula penjaja sedia ada di tepi jalan ke dalam gerai-gerai Majlis ekoran kini sudah banyak pembangunan dan sebagainya.
“Ini adalah usaha yang berterusan dan sedang digiatkan oleh pihak Majlis, justeru penjaja sedia ada adalah diseru untuk membuat permohonan juga,” jelasnya semasa sidang media di Jabatan Pelesenan dekat Jalan Padang Kota Lama di sini pagi ini.
Menurut Soo Siang, sebanyak 604 permohonan telah diterima pada sesi temuduga tahun lalu dengan 77.48 peratus peniaga berjaya manakala tidak berjaya (22.52 peratus).
Hadir sama, beberapa rakan sepenjawat iaitu Lee Seng Hwai; Ooi Mei Mei dan Zuraida Mohamad Arshad.
Tambah Soon Siang, selain perniagaan runcit, beberapa perkhidmatan lain juga bakal disediakan di lokasi-lokasi gerai yang bersesuaian.
“Semasa mesyuarat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas, terdapat beberapa ADUN yang memberi cadangan untuk menjadikan kompleks bukan sahaja menyediakan perniagaan runcit bahkan juga perkhidmatan lain.
“Contohnya, Pasar Lintang Macallum 2 boleh dipertimbangkan untuk membuat permohonan pembukaan salon gunting rambut dan juga servis menghias kuku (manicure & pedicure).
“Dengan itu, (gerai di kompleks) bukan sahaja mempunyai perniagaan runcit bahkan juga perkhidmatan dan kemudahan yang bersesuaian dengan komuniti setempat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Soon Siang turut memberi peringatan kepada penyewa gerai untuk menyegerakan tunggakan bayaran sewa.
“Penyewa perlu membayar sewa setiap bulan pada tempoh yang ditetapkan, jika tidak berbuat demikian, sistem akan mengambil tindakan untuk membatalkan semula lesen sedia ada jika tunggakan melebihi dua bulan.
“Memandangkan kadar sewa tidak terlalu tinggi, penyewa dinasihatkan membuat bayaran bagi tempoh setahun untuk mengelakkan sebarang tunggakan kelak.
“Bagi mereka yang telah dibatalkan lesen, anda boleh mengemukakan semula rayuan dan bayar jumlah tunggakan,” jelasnya sambil memaklumkan rayuan hanya boleh dikemukakan sekali sahaja.
Bagi pemohon yang mempunyai masalah mendaftar secara atas talian, sila layari laman sesawang https://ulesen.mbpp.gov.my/ atau hadir ke Jabatan Pelesenan atau hubungi talian 04-263 8818.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR