GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) mempelawa golongan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun yang telah mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum (selain acara sukan) untuk memohon Skim Insentif Kecemerlangan Bakat Muda Pulau Pinang (SIKBMPP) BEST! Anak Penang.
Dalam suatu kenyataan media, PYDC memaklumkan bahawa permohonan mula dibuka pada 28 Februari 2025 dan tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Ogos 2025.
SIKBMPP merupakan satu inisiatif dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PYDC selaku urus setia untuk memberi pengiktirafan dan memberi penghargaan kepada pencapaian belia yang telah berjaya mengharumkan nama negeri pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Usaha ini juga mencerminkan keprihatinan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap belia yang berjaya mencipta sejarah dan membawa nama negeri ke persada global,” sebagai memetik kenyataan media tersebut.
Dalam pada itu, PYDC berharap agar lebih ramai belia yang memenuhi syarat kelayakan dapat memanfaatkan peluang ini untuk mendorong mereka mengambil bahagian dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa yang seterusnya membantu memajukan lagi bakat dan pengalaman mereka.
Berikut adalah syarat kelayakan:
- dibuka kepada belia berwarganegara Malaysia berumur 15 hingga 30 tahun;
- kad pengenalan beralamat di Pulau Pinang atau merupakan pengundi Pulau Pinang;
- meraih tempat pertama, kedua, dan ketiga dalam pertandingan yang dianjurkan bermula 1 Januari 2025;
- permohonan adalah berdasarkan konsep ‘first come, first serve’.
Skim ini terbahagi kepada empat kategori individu dengan nilai insentif antara RM200 hingga RM1,000 dan empat kategori pasukan dengan nilai insentif antara RM500 hingga RM3,000. Bagi kejohanan di peringkat kebangsaan, sekurang-kurangnya melibatkan lima buah negeri, manakala kejohanan antarabangsa perlu disertai oleh minimum tiga negara yang diiktiraf oleh agensi kerajaan atau badan profesional yang berkaitan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web PYDC di https://pydc.com.my/bestanakpenang/.