BUKIT TAMBUN – Hasrat Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merak memohon peruntukan sebanyak RM100,000 untuk mewujudkan infrastruktur pendidikan digital di sekolah berkenaan akan dipertimbang bagi tahun 2025.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Hari Aspirasi Kecemerlangan Murid SK Taman Merak 2024/2025 di sini pada 14 Disember 2024.
“Guru Besar sekolah pun sudah menyatakan bahawa sesuai dengan agenda pemunyaan teknologi digital, pihak sekolah perlu mempunyai kemudahan-kemudahan digital berkaitan serta rangkaian akses internet yang lebih cekap demi mencapai matlamat untuk memudahkan para pendidik serta anak-anak (pelajar) di sekolah rendah ini mempunyai akses kepada kemudahan teknologi ini.
“Jadi, saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik akan lihat dalam tahun 2025, kita akan menyalurkan peruntukan yang boleh menjayakan permintaan-permintaan tentang program pendigitalan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merak ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Berucap sebelum itu, Guru Besar SK Taman Merak, Roslinda Mohd. Khalib merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow atas sumbangan dana berjumlah RM100,000 sehingga projek menaik taraf perpustakaan dan pusat sumber sekolah berjaya dilaksanakan seperti dirancang.
Sehubungan itu, beliau memohon peruntukan berjumlah RM100,000 untuk mewujudkan infrastruktur pendidikan berasaskan pendigitalan demi memenuhi keperluan guru serta para pelajar di sekolah berkenaan.
Selain Choon Aik, hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PTD) Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd. Rizal Ismail dan Yang Dipertua PIBG SK Taman Merak, Mohd. Desa.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NUR ATIKAH RAHMAT