GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada barisan kepimpinan Persatuan Muafakat Kesejahteraan Rakyat (Permuafakat) di pejabat beliau dekat Komtar sebentar tadi.
Kunjungan berkaitan adalah bagi membincangkan kerjasama yang terjalin antara persatuan berkenaan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu rakyat di negeri ini khususnya semasa penularan pandemik COVID-19.
Pengerusi Permuafakat, Zulkiply Ishak turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di atas sumbangan yang diberikan bagi membantu golongan memerlukan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui persatuan berkaitan.
“Kunjungan ini tidak lain adalah untuk menyatakan sokongan dan ucapan terima kasih kita kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri.
“Selain Kerajaan Negeri, pihak persatuan turut menerima sumbangan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan semua bantuan ini telah selesai diedarkan kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Turut hadir dalam pertemuan selama 20 minit itu adalah Setiausaha Permuafakat, Mohd. Naki@Rashid Md Ali dan Bendaharinya, Dr. Mazzan Md Isa@Md Desa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD