Perpaduan akan ‘post-mortem’ PRK Sungai Bakap, respons Kon Yeow

Admin
861b4af7 bb75 4de0 b58b f779b7e877f9 KETUA Menteri

SUNGAI BAKAP – Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.20 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan calon pembangkang Pulau Pinang, Abidin Ismail mendahului calon Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin dengan majoriti 4,269 undi.

Mengulas perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya menerima keputusan PRK tersebut yang dianggap sebagai suara rakyat terhadap situasi politik peringkat lokal, negeri Pulau Pinang dan negara Malaysia ketika ini.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata bahawa pihaknya atas semangat perpaduan akan membuat ‘post-mortem’ lanjut.

“Jelas daripada keputusan tak rasmi, calon PN telah dapat mengekalkan kerusi dengan majoriti yang lebih banyak daripada PRN (pilihan raya negeri) yang lepas,” responsnya dalam sidang media berkaitan di Pusat Penjumlahan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada 6 Julai 2024.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Pengarah PRK Sungai Bakap merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR serta beberapa barisan pemimpin utama negeri lain.

Setakat 8.09 malam tadi, keputusan tidak rasmi adalah Abidin meraih 14,554 undi berbanding Johari (10,285 undi) meliputi keseluruhan 66 saluran mengundi.

Sebanyak 24,839 kertas undi telahpun dihitung daripada jumlah keseluruhan 39,279, dengan peratusan keluar mengundi 63.24 peratus.

Sebagai rekod, PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan PN, Allahyarham Nor Zamri Latiff disahkan meninggal dunia pada 24 Mei lepas, selepas lebih tiga minggu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Nor Zamri menewaskan calon PKR, Nur Hidayah Che Rose dengan meraih 15,433 undi.

Jurang saingan semasa itu hanya 1,563 undi.