GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyeru sekalian pemimpin parti pemerintah iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk bersama-sama menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu kepada rakyat demi memupuk semangat perpaduan di tanah air ini.
Nasihat Pengerusi PH negeri Pulau Pinang itu lagi, dengan berbuat demikian sebenarnya akan menstabilkan politik negara daripada pelbagai isu perkauman dan agama yang masih berlaku belakangan ini.
“Saya rasa sudah sampai waktunya bermula dari parti-parti (pemerintah dalam Kerajaan) Perpaduan khususnya Pakatan Harapan menjadi teladan serta contoh kepada rakyat bahawa parti-parti kita sebagai parti pemerintah negara dan negeri, kita berikhtiar berhadapan dengan isu perkauman dan agama dengan sikap yang betul (serta) memimpin rakyat untuk melihat isu secara teliti dan bukan sebaliknya,” jelasnya semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa PH Pulau Pinang Bersama-sama Pengamal Media di sini pada 21 Mac 2025.
Turut berucap, dua Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong dan Dr. Zaidi Zakaria serta Ahli Jawatankuasa gabungan parti tersebut, Goh Choon Aik.

Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa pihaknya bersyukur kerana Kerajaan Negeri yang ditubuhkan sejak tahun 2008 dan kini telah berusia 17 tahun berjaya memakmurkan ekonomi Pulau Pinang hatta tidak ada mana-mana kaum diabaikan daripada arus pembangunan semasa.
Sehubungan itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berharap Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang yang terbentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan terus mendapat mandat rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Chee Keong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang pula memberitahu bahawa ketika ini sebuah badan bertindak khas dalam proses ditubuhkan pada peringkat parti tersebut untuk melihat strategi memenangi pilihan raya negeri.
“Dalam mesyuarat (DAP) negeri akan datang, saya akan mencadangkan penubuhan sebuah badan bertindak khusus untuk melihat kepada strategi strategi pilihan raya negeri Pulau Pinang.
“Badan bertindak khas ini khusus untuk kawasan-kawasan (yang diwakili wakil rakyat) DAP di negeri Pulau Pinang.
“Sudah tentu kita (DAP) akan bekerjasama dengan parti-parti yang bukan sahaja dalam PH, juga dalam Kerajaan Perpaduan, untuk memastikan kemenangan parti komponen,” ujarnya yang juga Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD