Perpaduan tanpa prejudis pacu kehidupan lebih maju – Rashid

PANTAI JEREJAK – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyatakan bahawa hanya dengan perpaduan kaum tanpa prejudis mampu memacu masyarakat ke arah kehidupan yang lebih maju dan dinamik.

Perkara tersebut diucapkan beliau pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Dewan Undangan  Negeri (DUN) Pantai Jerejak di sini baru-baru ini.

“Contohnya pada hari ini, masyarakat daripada berbilang kaum turut hadir menjayakan majlis sambutan yang diadakan ini.

“Semangat ini memperlihatkan suatu bentuk sokongan dan dorongan kepada langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam usaha mengekalkan keharmonian di negeri Pulau Pinang,” katanya.

Sambutan dihadiri kira-kira 500 pengunjung berkenaan diselaraskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Tengah.

Sebagai penyeri majlis, acara cabutan bertuah turut diadakan.