Perpustakaan negeri wujudkan Sudut Bola Sepak sempena 100 tahun penubuhan FAP

TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (depan) diiringi pemimpin Kerajaan Negeri turut meluangkan masa melawat Sudut Bola Sepak Pulau Pinang @ PPAPP di sini tadi.
SEBERANG JAYA – Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) hari ini melancarkan Sudut Bola Sepak Pulau Pinang khusus sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).
Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak diiringi isteri, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor berkenan menyempurnakan acara pembukaan sudut itu.
Semasa berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy memberitahu bahawa inisiatif PPAPP mewujudkan Sudut Bola Sepak Pulau Pinang @PPAPP itu antara lain bertujuan untuk mendekati masyarakat secara ilmiah melalui sukan.
Di samping itu, beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi memberitahu bahawa PPAPP juga berhasrat untuk mewujudkan suasana yang berbeza dan menjiwai dunia pembacaan melalui pendekatan fizikal dan spiritual.
“Pihak PPAPP sangat berbangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan FAP dan Penang FC (Kelab Bola Sepak Pulau Pinang) dalam menjayakan serta mengadakan pameran berbentuk virtual dan digital.
“Pencapaian ini adalah untuk dikongsi bersama masyarakat khususnya mereka yang berminat untuk mengikuti perkembangan pasukan bola sepak di negeri ini,” jelasnya yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PPAPP di bangunan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang di sini pada 11 November 2021.
Berucap pada majlis sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa Sudut Bola Sepak Pulau Pinang @PPAPP adalah selari dengan hasrat bagi merealisasikan visi negeri iaitu ‘Sukan Untuk Semua’.
“Selaras dengan inisiatif ‘Sukan Untuk Semua’, sudut ini bermotif untuk menarik perhatian individu dan masyarakat, khususnya kanak-kanak untuk mengenali pelbagai sukan seperti bola sepak, bola keranjang, ping pong, snuker dan e-sukan.
“’Sukan Untuk Semua’ merupakan idea dan inisiatif yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MMK Belia dan Sukan yang bertujuan untuk memupuk satu habit kehidupan  aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri hari ini akan berusaha mengimplementasikan penggunaan teknologi dalam bidang sukan mengikut keperluan rakyat terutama golongan belia.
“Amat mustahak untuk Kerajaan Negeri mengimplementasikan penggunaan teknologi dalam bidang sukan.
“Sehubungan itu, pengguna-pengguna yang ingin mempelajari asas-asas sukan bola keranjang, ping pong dan snuker boleh mengimbas kod QR yang terlekat pada peralatan tersebut,” katanya lagi.
Di Sudut Bola Sepak Pulau Pinang @PPAPP juga, tambah beliau, akan dilengkapi peralatan sukan lain mengikut tema tertentu, dari semasa ke semasa, untuk memperkenalkan sukan yang berlainan termasuklah sukan yang kurang mendapat perhatian umum.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Frank, Golden CS Beh yang menyumbang seunit ‘Interactive Smart Display Device’ untuk kegunaan Sudut Bola Sepak Pulau Pinang.
Serentak pada majlis sama, Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah Mohd. Nor turut menyempurnakan acara gimik pelancaran buku berjudul ‘Papa, Mama And Me: Baby: Baby Sensory Development And Communication: The Key To Positive Parent Children Relationship’ di ruang legar utama perpustakaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; Dato’ Mustafa Kamal Ahmad (ADUN Teluk Air Tawar merangkap Timbalan Pengerusi ALP PPAPP); M. Satees (ADUN Bagan Dalam); Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; dan Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir dalam dwi acara berkenaan di sini petang tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR