TANJONG BUNGA – Penubuhan Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah di Pangsapuri Warisan Tanjung dekat Tanjong Tokong bakal menjadi pemangkin peningkatan budaya membaca dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata demikian ketika hadir merasmikan perpustakaan tersebut yang dijadikan perpustakaan untuk kegunaan awam di negeri ini.
Menurut Mohamad, Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah merupakan salah satu inisiatif strategik hasil kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Wakaf MAINPP dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP).
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam memperkukuh agenda pembangunan pendidikan Islam melalui pelbagai instrumen wakaf yang mampu memberi manfaat besar kepada ummah.
“Pada masa sama mampu menyokong kemajuan dalam aspek ekonomi, sosial, dan juga pendidikan sepertimana penubuhan perpustakaan ini yang dilihat akan perkukuhkan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 khususnya dalam teras pembangunan pendidikan.
“(Dan) saya percaya bahawa (perpustakaan) ini akan menyumbang pada ‘Pendidikan Berkualiti’ di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat,” ujarnya yang juga Yang Dipertua MAINPP.
Buletin Mutiara difahamkan bahawa Perpustakaan Hajah Gayah merupakan perpustakaan pertama di Pulau Pinang yang dibuka kepada orang ramai dengan berkeluasan 1,600 kaki persegi dan dilengkapi 1,700 koleksi buku secara fizikal dan lima juta buku digital untuk semua peringkat usia, selain kemudahan ruang bacaan, rangkaian internet, surau serta tandas.
Terdahulu, Mohamad meluangkan masa melawat ke ruang bacaan perpustakaan serta lain-lain kemudahan sambil menyantuni pengunjung yang menggunakan kemudahan di sini.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Abdul Kahar Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Prof. Madya Dr. Mohd. Sukki Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, Abdul Mohsein Mohd. Shariff.
Sementara itu, wakil keluarga pewakaf, Dr. Imran Abdul Khalid ketika ditemui berkata bahawa kesemua adik-beradiknya sepakat untuk mewakafkan dua unit kediaman milik keluarga mereka untuk dijadikan perpustakaan.
“Sejak kecil kami semua dilatih untuk membaca dan mencintai ilmu oleh allahyarham ibu, Gayah Osman yang merupakan seorang bekas guru.
“Kita berharap perpustakaan wakaf ini akan membawa pahala serta amal jariah berpanjangan khusus untuk arwah ibu serta keseluruhan ahli keluarga.
“Justeru, diharapkan dalam tempoh lima tahun lagi setiap keluarga di Tanjong Tokong dapat menghantar seorang anak mereka ke universiti hasil manfaat daripada perpustakaan ini,” jelasnya.
Perpustakaan yang terletak di Tingkat 3 Blok K pangsapuri berkenaan dibuka setiap hari Selasa hingga Sabtu bermula jam 9.30 pagi hingga 6.00 petang.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR