Persatuan Kontraktor Melayu nyatakan sokongan penuh terhadap PTMP

Admin

GEORGE TOWN – Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Negeri Pulau Pinang hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap perancangan pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang atau Penang Transport Masterplan (PTMP) hasil inisiatif Kerajaan Negeri.



Pendirian itu disuarakan Yang di-Pertua PKMM Cawangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohamed Fadzill Hassan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar sebentar tadi.

Katanya, PKMM Pulau Pinang menyokong penuh segala perancangan yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri terutama PTMP dan Pan-Island Link (PIL) Fasa 1.

Beliau yang hadir bersama-sama 13 anggota delegasi lain turut menyerahkan memorandum sokongan kepada Kon Yeow dalam pertemuan selama 30 minit di sini.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng.

Antara isi kandungan memorandum tersebut adalah PKMM mengharapkan agar peluang terutama bagi kontraktor Gred G1 diperbanyakkan.

“Malah, PKMM Pulau Pinang juga berharap jalinan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat memantapkan lagi sektor pembinaan di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada PKMM Pulau Pinang kerana sudi mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat beliau.

Difahamkan, PKMM Pulau Pinang mempunyai keahlian lebih 500 orang membabitkan lima daerah di negeri ini merangkumi kontraktor Gred G1 sehingga Gred G7.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING