Persekitaran tempat kerja sihat bantu tangani isu kesihatan mental global – Exco

Admin
e5ade956 f344 4fcc a9c4 d65cbfeac249 DANIEL Gooi Zi Sen (dua dari kanan) diiringi Dr. Fazilah Allaudin (kanan sekali) melawat gerai pameran sempena penganjuran Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Wisma PERKESO, Seberang Jaya di sini pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Masalah kesihatan mental yang tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada isu sosial seperti kemiskinan, pengangguran, dan jenayah.

Sehubungan itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menasihatkan semua supaya saling membantu bagi mewujudkan persekitaran yang sihat terutama di tempat kerja demi meningkatkan produktiviti rakyat.

f94348fc 4820 4723 96bb 5349299cab6d
DANIEL Gooi Zi Sen semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis berkaitan di sini pada 24 Oktober 2024.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang menyampaikan amanat itu semasa merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia di Wisma PERKESO, Seberang Jaya pada 24 Oktober 2024.

“Tempat kerja memainkan peranan besar dalam kesihatan mental pekerja.

“Oleh itu, penting untuk kita meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menyediakan persekitaran kerja yang menyokong kesihatan mental,” jelasnya sambil menyeru semua majikan dari semua sektor untuk tampil memberi kerjasama dalam usaha ini.

Difahamkan, data International Labour Organization merekodkan bahawa 15 peratus daripada pekerja mengalami masalah kesihatan mental, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan bahawa kos produktiviti yang hilang akibat masalah ini mencecah 1 trilion USD setiap tahun.

Mengulas lanjut, Zi Sen berkata isu kesihatan mental yang kian meningkat pada peringkat global ketika ini bukan sahaja memberi kesan kepada pekerja, tetapi juga ekonomi dan masyarakat secara keseluruhannya.

“Dalam usaha menangani masalah ini, kita memerlukan pendekatan ‘Whole Nation Approach’ (yang mana) Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited dalam menangani isu kesihatan mental.

“Dan, pada 14 November 2023, saya sendiri telah menubuhkan serta mempengerusikan Jawatankuasa Kesihatan Mental Pulau Pinang. Jawatankuasa ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan Negeri, NGO, dan pihak-pihak berkepentingan lain,” jelasnya lagi.

Turut serta, Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Allaudin dan Pengarah PERKESO Negeri Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Tema sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 adalah ‘Kesihatan Mental Di Tempat Kerja’.

Teks : ZAINULFAQAR YAACOB