UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok bersamaan 10 April 2024.
Dalam kesempatan itu, semalam, wartawan Pelatih, NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY dan jurufoto DARWINA MOHD. DAUD sempat melakukan tinjauan persiapan akhir serta mendapatkan respon daripada orang awam dalam menyambut hari kebesaran umat Islam tersebut.
Individu turut berkongsi kisah-kisah pribadi mereka yang dipenuhi dengan perasaan dengan perasaan gembira dan tidak terkecuali.

NUR SYAHIDA AZMAN, 30, menyatakan perasaan sedikit pilu menyambut raya kerana tidak beraya bersama ibu dan ayah yang sedang menunaikan umrah. “Saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk beraya bersama keluarga mentua walaupun ibu dan ayah sedang jauh.
“Saya mendoakan Syawal kali ini akan lebih bermakna dengan iringan doa daripada ibu bapa saya,” ujar Syahida ketika ditemu ramah semalam.

Sementara itu, NORSYAFIQAH MAHADZIR, 24, menggambarkan perasaannya yang bercampur aduk antara gembira dan sedih.
“Saya gembira untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan kawan-kawan tersayang namun sedikit sedih kerana ini menandakan bahawa bulan yang diberkati (Ramadan) akan berlalu.
“Saya berdoa agar saya dan orang lain masih mempunyai kesempatan untuk merasainya sekali lagi pada tahun hadapan,” maklum Syafiqah kepada Buletin Mutiara.

Senada dengan Syafiqah, MOHAMAD AZWAN AZMAN, 29, juga turut merasa bersyukur dapat merayakan Aidilfitri dengan keluarga dan isterinya.
“Persiapan yang telah dilakukan termasuk membuat kuih raya, membuat ketupat palas, dan membeli baju raya baru juga sudah selesai dilakukan seminggu sebelum Aidilfitri.
MAHADZIR CHE AMAD, 54 tahun, merasakan kegembiraan menyambut raya dengan kehadiran menantu lelaki baru di kampung halamannya.
Dia turut mengambil kesempatan mengecat rumah dan membuat kuih raya bersama keluarga seperti tahun-tahun sebelumnya.

Sementara itu, AILIN NAYLI MOHD ANUAR, 24, dan ADAM AZNIJAR, 24 turut mengungkapkan rasa teruja menunggu pengumuman raya dan menyatakan persiapan mereka dengan membeli kuih raya serta membersihkan rumah.

Dengan pelbagai perasaan dan persiapan yang dilakukan, semua responden sempat merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga, saudara-mara, dan seluruh umat Islam.
Turut tidak dilupakan adalah iringan doa untuk saudara Islam yang berada di Palestin.