Persiapan sambutan Aidilfitri tahun ini agak suram

Admin

WALAUPUN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula hari ini, ia tidak menghalang umat Islam untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang esok.

Walau bagaimanapun, tinjauan Buletin Mutiara di beberapa pasaraya di sekitar Seberang Perai dan pulau mendapati rata-rata penduduk di negeri ini hanya membuat persiapan sambutan hari raya secara ‘ala kadar’ sahaja.

Keadaan di salah satu lot kedai menjual pakaian raya dekat pasaraya di Seberang Perai agak lengang.

Keadaan di lot-lot kedai pakaian terutamanya kelihatan agak suram berbanding tahun-tahun sebelum berlakunya penularan pandemik COVID-19.

Namun begitu, tinjauan ke bahagian barangan basah dan barangan masakan lain mendapati pelanggan agak ramai, mungkin untuk membeli segala keperluan untuk memasak pada hari raya sepertimana rutin setiap kali menyambut Aidilfitri.

Hayati Marican.

HAYATI MARICAN, 60, ketika ditemui berkata bahawa beliau merasa sambutan Aidilfitri pada kali ini agak suram dek pelaksanaan PKP yang telah menjejaskan suasana hari raya.

“Selalunya, saya berasa teruja untuk membuat persiapan menyambut hari raya, akan tetapi pada tahun ini saya dan keluarga hanya membuat persediaan biasa-biasa sahaja memandangkan aktiviti ziarah raya tidak dibenarkan.

“Walaupun saya hanya tinggal di sekitar sini dan tiada kampung halaman, saya dapat merasakan kesedihan orang lain yang tidak dapat pulang ke kampung kerana keseronokan dan kemeriahan Aidilfitri tidak dapat dikongsi bersama,” ujar beliau yang baru selesai membeli belah bersama ahli keluarga.

Roshita Hashim.

Bagi ROSHITA HASHIM, 50, beliau berpendapat bahawa sambutan Aidilfitri pada tahun ini agak lesu memandangkan dua orang anaknya yang berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Kuala Lumpur, tidak dapat pulang beraya.

“Saya sebagai peniaga merasa terkesan juga kerana kekurangan pelanggan, ditambah pula dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang hanya membenarkan perkhidmatan bungkus sahaja.

“Oleh kerana perniagaan semakin merudum, keadaan ekonomi keluarga kami juga tidak stabil dan menyebabkan persiapan Aidilfitri tahun ini secara ‘ala kadar’ sahaja,” katanya yang berasal dari Johor.

Nurul Nisa Abdul Ghaffor.

Berbeza pula dengan NURUL NISA ABDUL GHAFFOR, 34, yang memberitahu bahawa persiapan raya beliau dan keluarga tetap meriah sepertimana tahun-tahun sebelumnya.

“Bagi keluarga saya, PKP atau tidak sambutan Aidilfitri harus diraikan dengan meriah kerana itu merupakan hari kemenangan umat Islam yang hanya disambut setahun sekali.

“Oleh itu, segala keperluan seperti baju raya sedondon yang ditempah khas, kuih-muih dan dekorasi di rumah telah siap dilakukan bersama ahli keluarga kerana kami sangat teruja untuk menyambut hari raya esok.

“Walaupun saudara-mara tidak dapat datang ke rumah, perkara itu tidak menjejaskan ‘mood’ saya kerana kita faham bahawa SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan oleh kerajaan harus dipatuhi,” jelasnya lagi.

Siti Khalijah Mohd. Yusri.

SITI KHALIJAH MOHD. YUSRI, 23, yang merupakan seorang suri rumah menyatakan bahawa persiapan raya beliau dan keluarga pada tahun ini dilakukan penuh sederhana memandangkan penularan pandemik COVID-19 masih membimbangkan.

Katanya, beliau hanya menyediakan sepasang baju dan kasut sahaja berbanding kebiasaannya kerana tiada aktiviti ziarah hari raya dibenarkan dek pelaksanaan PKP.

“Mood raya tahun ini sebenarnya sama sahaja seperti tahun lepas kerana kita semua terikat dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Disebabkan penularan COVID-19, saya memilih untuk membeli kelengkapan raya secara dalam talian sahaja untuk meminimunkan pergerakan di tempat-tempat awam yang sesak.

“Hari ini saya datang ke pasaraya hanya untuk membeli barangan keperluan untuk dimasak pada pagi hari raya,” ujarnya yang berasal dari negeri Kedah ketika ditemui dekat Pasaraya Maydin Jalan Baru sebentar tadi.

Noor Atiqah Noor.

NOOR ATIQAH NOOR, 19, pekerja sambilan, memberitahu bahawa sambutan hari raya tahun ini lebih suram kerana semua adik beradiknya yang tinggal di perantauan tidak dapat pulang beraya di kampung halaman.

“Tahun lepas masih meriah walaupun PKP kerana masih ada adik-beradik saya yang pulang tetapi tahun ini benar-benar berbeza kerana hanya saya dan mak sahaja ada di rumah.

“Disebabkan itu, persiapan raya kami juga sangat sederhana yang mana saya dan mak hanya menyediakan sepasang baju raya sahaja,” ujarnya.

Ditanya mengenai keadaan perniagaan yang diusahakannya, Noor Atiqah berkata bahawa jualan pada tahun ini dan tahun lepas sangat merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini sama juga dengan tahun 2020, nak dapat RM1,000 pun susah berbanding sebelum adanya penularan COVID-19 yang mana pada musim perayaan kami mampu mencapai nilai jualan sehingga RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” jelasnya lagi.

Bagi peniaga, NORSHAM HUSSAIN, 56, perniagaan ketupat palas yang diusahakan beliau sejak berbelas tahun lalu agak merosot dek penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

Norsham Hussain bersama-sama anaknya sedang menual ketupat palas dekat Teluk Air Tawar.

Katanya, pada tahun ini beliau hanya menyediakan 50 kilogram (kg) beras pulut untuk menghasilkan ketupat berbanding sebelum ini yang mencecah sehingga 100kg.

“Memandangkan pelaksanaan PKP, Makcik tidak berani untuk membuat terlalu banyak ketupat kerana mengambil kira jumlah pelanggan yang semakin berkurangan.

“Tambahan pula, waktu meniaga sekarang hanya dibenarkan sampai pukol 10 malam sahaja, jadi kemungkinan untuk ketupat tidak habis terjual sangat tinggi,” ulasnya yang menjalankan perniagaan dekat Teluk Air Tawar bersama-sama suami dan anak perempuannya.

Mengulas mengenai persiapan hari raya pula, beliau yang lebih mesra disapa sebagai Kak Sham memberitahu bahawa hari raya pada tahun ini benar-benar disambut dalam keadaan sederhana sahaja.

“Makcik dan Pakcik tak beli baju raya pun tahun ni… cuma beli untuk anak-anak sahaja supaya mereka tetap merasai kemeriahan hari raya,” ujarnya yang menjual beberapa jenis ketupat seperti ketupat kacang, jagung dan ketupat biasa.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL & SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN