Persidangan DUN Pulau Pinang dengan pematuhan SOP ketat

Admin

GEORGE TOWN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dijalankan mengikut langkah-langkah pencegahan ketat berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang berkata bahawa jumlah jemputan akan dihadkan hanya kepada wakil rakyat, ketua-ketua jabatan serta petugas yang diperlukan sahaja bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Beliau berkata, majlis perasmian juga akan diadakan secara ringkas tanpa isitiadat kawalan kehormat bagi memastikan semua SOP yang ditetapkan dapat dipatuhi.

“Walaupun ini merupakan mesyuarat pertama (penggal ke-4) yang lazimnya diadakan istiadat kawalan kehormat, tetapi kali ini kita tidak adakan apacara tersebut dan perkara itu telah pun mendapat perkenan daripada Tuan Yang Terutama (TYT),” katanya kepada Buletin Mutiara pada sidang media sebentar tadi.

Tambah beliau lagi, semua jemputan termasuk wakil rakyat perlu menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kaedah RT-PCR sekurang-kurangnya tiga hari sebelum majlis perasmian persidangan bermula.

Kerja-kerja sanitasi dilakukan setiap hari sepanjang persidangan berlangsung.

“Sebelum para jemputan hadir ke dewan untuk upacara perasmian pada 30 Ogos ini, mereka semua perlu lalui ujian RT-PCR dengan keputusan negatif dan barulah akan dibenarkan masuk.

“Ini merupan ketetapan yang wajib dipatuhi tanpa ada sesiapa pun akan terkecuali,” tegasnya.

Bagi meningkatkan lagi langkah keselamatan, Choo Kiang memaklumkan bahawa semua wakil rakyat dan petugas-petugas terlibat perlu menjalani saringan COVID-19 menggunakan RTK-Antigen dekat Dewan Sri Penang sebelum dibenarkan masuk ke bangunan dewan persidangan.

“Apabila kita memulakan persidangan pada 1 September nanti, semua jemputan wajib melakukan ujian RTK-Antigen setiap hari dengan bantuan petugas KKM.

“Selain itu, mereka juga perlu melakukan saringan dan pemeriksaan suhu badan di luar perkarangan bangunan dewan dan di pintu masuk dewan,” jelasnya lagi.

Tambah Choo Kiang, kerja-kerja disinfeksi turut akan dilakukan di dalam dewan dan kawasan-kawasan kritikal sebelum persidangan bermula selain memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dilaksanakan.

Beliau berkata, susunan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa persidangan juga akan dijarakkan dengan tambahan penghadang lut sinar di bahagian tepi dan hadapan bagi setiap tempat duduk.

Katanya, selain Buletin Mutiara, pihak media lain tidak dibenarkan hadir untuk membuat liputan dan dinasihati mengikuti persidangan secara langsung melalui penstriman langsung di laman sesawang rasmi DUN atau laman Facebook.

Jarak tempat duduk setiap ADUN juga dijarakkan sejauh satu meter selain dipasang penghadang lut sinar di bahagian tepi dan hadapan.

Dalam perkara berkaitan, beliau memaklumkan bahawa persidangan kali ini juga bakal menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) Undi 18 dibentangkan bagi menyelaraskan perlembangaan Negeri dan Persekutuan.

“RUU ini adalah bagi membolehkan individu berumur 18 tahun ke atas dijadikan calon pada pilihan raya umum akan datang dan perkara ini akan melibatkan pindaan perlembagaan Negeri.

“Satu lagi adalah berkaitan pelantikan senator baru memandangkan senator sedia ada telah pun tamat tempoh perkhidmatan pada 26 Ogos lalu,” katanya lagi.

Difahamkan, Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Persidangan DUN Ke14 yang bermula pada 30 Ogos hingga 9 September itu akan diadakan di bangunan Dewan Undangan Negeri dekat Jalan Light di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD