Pertama di Malaysia, 42 lokasi ‘hotspot’ di Pulau Pinang kini dilengkapi mesin AED

Admin

PAYA TERUBONG – Persatuan Pemulihan Jantung Pulau Pinang (PHSS) yang komited menawarkan perkhidmatan pertolongan cemas, menyumbang seunit Bantuan Asas Hayat (BLS) atau Automated External Defibrillator (AED) kepada anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dekat sini.

 

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata bahawa inisiatif tersebut merupakan kerjasama dengan Unit Khas PHSS bagi mewujudkan persekitaran yang selamat di negeri Pulau Pinang dengan kemudahan mesin AED.

 

“Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang melancarkan program ini dan sebanyak 42 unit mesin AED telah ditempatkan di beberapa buah kawasan untuk komuniti mengakses dengan segera jika berlaku kecemasan pada waktu yang tidak dijangka.

 

“Di samping itu, pihak saya telah mengenal pasti beberapa tempat tarikan pelancong dan menempatkan mesin AED di balai bomba berdekatan agar mudah untuk pihak barisan hadapan menghulurkan bantuan,” jelas Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong pada majlis ringkas penyampaian berkaitan pada 8 Januari 2022.

 

DARI kiri. Soon Hin, Siew Khim, A’azelan & Rayer.

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Ketua Balai Balai Bomba & Penyelamat Jalan Perak, TPgB I A’azelan Hassan; Pengerusi PHSS, Datuk Dr. Luah Lean Wah serta anggota bomba yang bertugas dan para sukarelawan dari St. John Ambulance.

 

Dalam sesi yang sama, Soon Hin turut menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak PHSS yang komited dan bersemangat merealisasikan inisiatif mulia ini.

 

“Pihak PHSS berjaya menyumbang ke beberapa buah tempat seperti Balai Bomba Teluk Bahang, Balai Bomba Sukarela Sri Tanjung, Masjid Kapitan Keling, Persiaran Karpal Singh, Botanical Garden, Kompleks Makanan Persiaran Gurney dan banyak lagi di kawasan lain.

 

“Hari ini, anggota bomba yang bertugas turut diberikan pendedahan dan latihan penggunaan mesin AED bagi mengasah kemahiran mereka untuk digunakan waktu kecemasan kelak,” tambah Soon Hin lagi.

 

LEAN Wah sewaktu penyerahan mesin AED kepada A’azelan.

Sementara itu, Lean Wah turut menjelaskan bahawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut teruja dengan inisiatif tersebut dan ingin menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai model.

 

“Saya berharap agar semua negeri dapat mencontohi negeri Pulau Pinang bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat kerana inisiatif seperti ini memerlukan sokongan dari ramai pihak untuk memastikan ia tercapai.

 

“Dalam pada itu, kemudahan di aplikasi WhatsApp yang menyenaraikan butiran pesakit di kumpulan sembang digunakan pihak kami bagi segera menghulurkan bantuan secara ‘on the spot’ kepada pesakit,” jelasnya.

 

 

Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL