GEORGE TOWN – Pertandingan Amal Badminton 2024 anjuran Persatuan Menyambut Perayaan Phor Thor Sri Tanjung akan diadakan pada 22 dan 23 Jun bagi meningkatkan pengalaman dan kemahiran para peserta.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, pertandingan tersebut diharap akan melahirkan lebih banyak bakat baharu di Pulau Pinang.
“Pertandingan ini diharap dapat melahirkan lebih ramai anak muda yang berbakat, seterusnya menjadi bakat peringkat antarabangsa yang membawa nama Pulau Pinang di mata dunia.
“(Oleh itu) Kerajaan Negeri akan memberi tajaan sebanyak RM15,000 bagi menjayakan pertandingan amal ini.
“Kita (Kerajaan Negeri) tidak akan menghentikan usaha ini di sini, malah ini akan berlangsung pada tahun seterusnya bagi memastikan keterjaminan bakat anak muda di negeri ini,” ujar Jagdeep pada sidang media di pejabatnya dekat Komtar, pagi tadi.
Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Pengerusi Persatuan Menyambut Perayaan Phor Thor Sri Tanjung, Tan Beng Ghee; dan wakil-wakil dari CPS Badminton Academy.
Jagdeep dalam pada itu memaklumkan pemilihan lokasi ditentukan berdasarkan kapasiti tempat letak kereta bagi memudahkan para peserta dan ibu bapa yang hadir pada hari tersebut.
“Seramai 180 orang peserta yang akan mengikuti pertandingan ini dari pelbagai sekolah di seluruh daerah Pulau Pinang.
“Maka dengan itu, penganjuran kali kelima ini akan bertempat di Balai Rakyat Jalan Patani,” tambah Jagdeep.
Zi Sen pada sidang media sama sempat merakamkan ucapan terima kasih atas usaha Jagdeep yang terus menyokong komuniti sukan di Pulau Pinang.
“Terima kasih kepada beliau (Jagdeep) kerana sudi untuk terus menyokong bidang sukan yang berbentuk komuniti di negeri ini.
“Pertandingan badminton ini agak penting kerana kita menyasarkan mereka yang di bawah 9 tahun, bawah 12 tahun dan bawah 16 tahun untuk mencungkil bakat dari akar umbi agar dapat dijadikan pelapis dalam sukan badminton di Pulau Pinang,” kata Zi Sen.
Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT